Tiada ahli Parlimen Perikatan lompat parti, kata Shahidan Kassim


Diyana Ibrahim

ANWAR Ibrahim tidak ada peluang untuk menumbangkan kerajaan kerana tiada mana-mana ahli Parlimen Perikatan Nasional yang lompat parti, kata Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional PNBBC Shahidan Kassim.

Ahli Parlimen Arau itu berkata jika Anwar mempunyai jumlah majoriti yang cukup beliau perlu mendedahkannya kerana bagi PNBBC tidak ada anggotanya yang lompat parti.

Belau berkata dakwaan Anwar itu lebih kepada permainan politik pilihan raya negeri Sabah. 

“Saya tanya dia siapa yang lompat, 50 orang ahli Parlimen dalam PNBCC tidak ada satu orang yang lompat.

“23 Umno, 10 GPS, 10 PAS,7 Bersatu (PNBBC) tidak ada yang lompat, kemudian timbalan menteri tidak logik, ini semua politik pilihan raya Sabah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Terdahulu Anwar hari ini mendakwa telah mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

Bercakap pada sidang media hari ini, Anwar berkata beliau juga telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di Institut Jantung Negara. 

Tambahnya jika Anwar membuat dakwaan ada ahli Parlimen yang lompat parti, PN juga boleh berbuat yang sama.

Katanya mustahil ahli Parlimen PN ingin lompat parti dan perlu berkerjasama dengan DAP, PKR.

“Kalau beliau kata macam itu boleh tarik orang kami pun boleh ckp tarik orang juga.

“Tapi apa sebab nak lompat. Kami sekarang memerintah, kenapa kami dalam kerajaaan nak keluar bersama dengan DAP,” katanya. – 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen