Amanah beri sokongan kepada Anwar untuk bentuk kerajaan baharu


Presiden PKR Anwar Ibrahim diiringi isteri Wan Azizah Wan Ismail pada sidang akhbar di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur, hari ini – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 September, 2020.

AMANAH mengulangi sokongannya terhadap pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau kini mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Presiden parti, Mohamad Sabu mengesahkan kesemua 11 ahli Parlimen Amanah berada di belakang Anwar sepenuhnya.

“Seperti yang telah diputuskan oleh  Majlis Presiden PH sebelum ini, Amanah mengesahkan bahawa semua 11 orang ahli Parlimen Amanah menyokong sepenuhnya kepimpinan Datuk Seri Anwar sebagai pengerusi PH dan memberikan kepercayaan kepada beliau untuk membentuk kerajaan baharu,” Mohamad berkata dalam satu kenyataan ringkas hari ini selepas pengumuman Anwar.

Anwar tengah hari ini berkata kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah jatuh kerana beliau mempunyai majoriti yang meyakinkan untuk mengambil alih Putrajaya.

Namun, beliau tidak mendedahkan jumlah yang tepat walaupun diasak beberapa kali oleh wartawan pada sidang media yang diadakan di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur.

Presiden PKR itu berkata sudah bercakap dengan Yang di-Pertuan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah malam tadi melalui panggilan telefon, selepas baginda dimasukkan ke Institut Jantung Negara.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beliau hanya akan mendedahkan bilangan tersebut kepada pengetahuan umum selepas memaklumkannya kepada Agong. – 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen