Husam fokus 'selamatkan' Kelantan selepas letak jawatan dalam Amanah


Diyana Ibrahim

Bekas naib presiden Amanah Husam Musa berkata beliau kini fokus untuk menyelamatkan Kelantan selepas melepaskan jawatan dalam parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 September, 2020.

KEMPEN “Selamatkan Kelantan” akan menjadi agenda Senator Husam Musa selepas peletakan jawatannya sebagai naib presiden Amanah.

Beliau berkata demikian semasa forum Sembang Santai anjuran Amanah Lembah Pantai, malam tadi dan menambah akan menumpukan usaha memenangi semula kerusi Parlimen Kota Baru pada Pilihan Raya Umum ke-15. 

“Selamatkan Kelantan agenda saya selepas ini dan Kota Baru. Kita nak berjaya. Tapi berjaya atau tidak, tak tahu. Tapi itu yang saya akan lakukan,” katanya.

Katanya, idea itu timbul dalam usaha mengubah minda rakyat Kelantan supaya tidak terlalu fanatik dengan parti.

“Orang Kelantan fanatik dengan parti. Jadi untuk kendurkan fanatik parti ini maka saya cadangkan satu platform bukan politik atau parti semata- mata.

“Mana-mana anak Kelantan yang berkemampuan, dedikasi dan ada idea menyumbang untuk kampung, DUN dan Parlimen, mereka boleh terlibat dalam kempen ‘Selamatkan Kelantan’ ini,” katanya.

Beliau mengundurkan diri dari jawatannya sebagai naib presiden Amanah minggu lalu, yang dikatakan sebagai membantah kepemimpinan presiden Mohamad Sabu yang dikatakan lemah.

Husam kemudian menafikan khabar angin itu, walaupun beliau sememangnya benar-benar melepaskan jawatan naib presiden.

Bagaimanapun, Amanah menawarkannya jawatan sebagai penasihat strategik bagi beberapa inisiatifnya untuk mengukuhkan parti itu di Kelantan.

Husam berkata, walaupun bukan lagi naib presiden, beliau masih boleh menyumbang untuk parti.

“Kalau saya nak letak jawatan itu hak saya, tiada masalah dengan itu,” katanya.

Husam turut menafikan beliau dan Pakatan Harapan lemah Kelantan kerana gagal memenangi kerusi dalam pilihan raya lepas.

Husam menegaskan beliau tidak hilang deposit di kerusi DUN Salor dan kekalahannya kerana tiga peti undi adalah kawasan pengundi fanatik PAS.

“Di Kota Baru saya hampir menang tetapi anak Kelantan di perantaun balik tiga hari ingat masalah boleh selesai. 

“Mereka balik dua hari dan undi bulan (PAS) sebab orang kata Umno akan tawan Kelantan. Jadi ia sebagai tindak balas semula jadi,” katanya.

Tambah beliau jika ketika itu diletakkan di kerusi Bandar Tun Razak yang kini disandang Kamaruddin Jaafar sudah tentu beliau akan menang.

“Jangan ingat Kelantan tidak menang bermakna Husam tidak kuat, PH tidak kuat,” katanya. – 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen