ARAB Saudi akan membenarkan ibadah umrah secara beransur-ansur mulai 4 Oktober, kata kementerian dalam negeri pada Selasa, tujuh bulan selepas ia ditangguhkan kerana wabak koronavirus.
Kerajaan menangguhkan umrah pada Mac dan kemudian mengurangkan bilangan jemaah haji yang menjadi pukulan kepada jutaan jemaah di seluruh dunia ketika kebimbangan virus itu mungkin tersebar ke Tanah Suci.
Pada tahap pertama, “6,000 warga dan penduduk Arab Saudi akan diizin menunaikan umrah setiap hari mulai 4 Oktober”, kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh Saudi Press Agency.
Pengunjung dari luar negara akan diizinkan mulai 1 November, apabila kapasiti umrah dinaikkan menjadi 20,000 jemaah sehari, tambah kementerian itu.
Kementerian itu berkata umrah akan diizinkan seperti biasa selepas ancaman wabak itu pulih sepenuhnya.
Keputusan membenarkan kembali umrah adalah sebagai tindak balas kepada “aspirasi umat Islam di dalam dan luar negara” untuk melakukan ibadah dan menziarahi kota sucinya, tambah kementerian itu.
Keputusan itu dibuat selepas kerajaan melaksanakan haji terkecil dalam sejarah moden pada akhir Julai, dengan hanya 10,000 umat Islam diizinkan menyertainya - ia jauh berbeza dengan 2.5 juta jemaah tahun lalu.
Pihak berkuasa kesihatan berkata tiada kes koronavirus dilaporkan di kota suci semasa haji.
Para jemaah juga menjalani pemeriksaan suhu secara berkala dan diwajibkan kuarantin selepas menunaikan ibadah itu.
Raja Salman berkata untuk membenarkan ibadah haji dalam keadaan pandemik memerlukan “usaha berganda” oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Haji dan umrah adalah cabaran logistik yang besar, dengan ramai orang memasuki kawasan suci yang agak kecil, menjadikan mereka terdedah kepada penularan.
Kerajaan berusaha mengekang lonjakan jangkitan, yang kini meningkat menjadi lebih 330,000 kes - tertinggi di Teluk - dan lebih 4,500 kematian.
Bagaimanapun Arab Saudi juga melaporkan kadar pemulihan yang tinggi, melebihi 312,000 pada Selasa.
Minggu lalu, Arab Saudi menarik balik sebahagian penangguhan penerbangan antarabangsa, enam bulan setelah sekatan perjalanan dikenakan kerana wabak tersebut. – AFP, 23 September, 2020.
Komen