Rumah ibadat bukan Islam dibenar buka kecuali dalam zon merah


Ravin Palanisamy

Beberapa rumah ibadat meneruskan upacara keagamaan dalam talian untuk mengehadkan bilangan kehadiran di kuil atau gereja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2020.

RUMAH ibadat bukan Islam di seluruh negara dibenarkan buka semula di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), kecuali yang berada dalam zon merah atau kawasan bawah PKP diperketatkan (PKPD), kata kumpulan antara agama.

Naib Presiden Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoism Malaysia (MCCBCHST) R.S. Mohan Shan berkata rumah ibadat dalam zon merah akan ditutup dan dibuka semula hanya apabila kes Covid-19 menurun.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan tiga daerah - Kota Setar di Kedah serta Lahad Datu dan Tawau di Sabah - diisytihar zon merah susulan kes Covid-19 naik mendadak.

Rumah ibadat di tiga daerah yang berada di bawah PKPD itu juga akan ditutup untuk sementara waktu, kata Mohan.

KKM mengelaskan daerah yang sifar kes Covid-19 sebagai zon hijau, kuning (1-40 kes) dan merah (41 kes ke atas), berdasarkan jumlah kes aktif dalam penularan tempatan.

Masjid dan institusi pendidikan juga diarahkan tutup di kawasan bawah PKPD.

“Buat masa ini, semua rumah ibadat dibuka semula bawah PKPP. Tetapi bagi yang berada dalam zon merah dan PKPD tidak dibenarkan buka.

“Boleh buka semula hanya apabila bertukar kepada zon kuning atau hijau, dan selepas perintah berkurung bagi kawasan PKPD tamat,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

Semua rumah ibadat bukan Islam dibenarkan buka sejak 15 Jun lalu, tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat untuk membendung jangkitan Covid-19.

Mohan, yang juga presiden Hindu Sanggam, berkata beberapa rumah ibadat meneruskan upacara keagamaan dalam talian untuk mengehadkan bilangan kehadiran di kuil atau gereja.

“Ada beberapa rumah ibadat tidak boleh tampung kehadiran yang ramai dan perlu dikurangkan kepada sekurang-kurangnya separuh daripada kapasiti maksimum.

“Dalam kes ini, ada rumah ibadat terpaksa pilih untuk adakan upacara keagamaan dalam talian,” tambah beliau.

PKPP dilanjutkan sehingga 31 Disember. Sehingga kini, Malaysia merekodkan lebih 10,000 kes positif Covid-19 dengan 130 kes kematian. – 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen