PENOREH getah di Baling, Kedah tetap menjual hasil sekerap pada harga rendah ketika syarikat pengeluar sarung tangan getah menikmati untung besar luar biasa tahun ini, susulan permintaan yang tinggi akibat pandemik Covid-19.
Abdul Mutalib Abdul Mukti, 47, memberitahu The Malaysian Insight, pendapatan mereka yang menoreh getah tiada beza sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac lalu.
“Saya tak tahu langsung syarikat pengeluar sarung tangan untung banyak, sedangkan pendapatan kami sama. Tidak naik-naik pun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dalam Wang, di Baling.
Jelasnya, rata-rata penoreh getah di Baling sekadar meraih pendapatan RM500 sebulan dengan harga getah sekerap dijual antara RM1.80 hingga RM2.00 sekilo.
Dengan hampir semua sektor ekonomi terjejas akibat Covid-19, Abdul Mutalib tidak sedar bahawa syarikat pengeluar sarung tangan memperoleh keuntungan berjuta-juta ringgit di tengah pandemik yang melanda dunia.
Top Glove Corporation Bhd misalnya merekodkan untung bersih mencecah RM1.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2020. Jumlah itu adalah lonjakan 417% berbanding RM365 bagi tahun sebelumnya.
Dengan keuntungan besar itu, pemegang saham Top Glove menerima dividen 11.8 sen bagi tahun kewangan 2020 atau bertambah 373% berbanding tahun kewangan 2019, dengan jumlah bayaran hampir RM1 bilion.
Awal bulan lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Lim Ban Hong berkata eksport sarung tangan getah keluaran Malaysia meningkat 50.1% kepada RM15.06 bilion bagi tempoh Januari hingga Julai 2020 berbanding RM10.03 bilion bagi tempoh yang sama tahun 2019.
“Rasa tak adil, kita pi (pergi) menoreh dapat berapa kupang sahaja. Itu pun tak cukup… ada hari hujan. Harga getah tak tentu tapi kilang sarung tangan tetap untung banyak,” kata Abdul Mutalib.
Bapa lima anak itu mengusahakan kebun getah yang diwarisi dari arwah ayahnya, sebidang tanah seluas seekar yang mempunyai 200 batang pokok getah.
Selain menoreh getah, beliau juga menjalankan perniagaan membaiki motosikal, sebagai pendapatan tambahan menyara keluarga.
“Sejak 20 tahun lepas pun pendapatan kami tak berubah, malah lagi teruk sebab kos sara hidup makin mahal. Sebab itu penoreh-penoreh getah memang biasanya ada pekerjaan lain,” tambahnya.

Sejak Januari 2019, kerajaan menetapkan harga lantai getah sekerap pada RM2.50 sekilo. Sekiranya harga yang dijual kepada peraih tidak mencapai harga lantai yang ditetapkan, penoreh boleh membuat tuntutan baki kepada pihak berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah atau Risda.
“Tetapi nak buat tuntutan jauh, hanya pejabat RISDA di Sungai Petani. Ada pejabat RISDA di Baling pun kita tidak boleh tuntut kerana mereka tak sediakan perkhidmatan itu,” katanya.
Penoreh getah dari Kampung Bechah Sawa, Baling, Shafie Awang pula berkata, beliau terkilan apabila mendapat tahu syarikat pengeluar sarung tangan untung luar biasa berganda sedangkan mereka tidak merasai tempias nikmat itu.
Beliau menganggap syarikat ini mengambil kesempatan atas harga getah yang murah.
“Syarikat-syarikat besar untung berganda-ganda daripada apa yang penoreh getah dapat.
“Walapun kami mungkin tak perlu bayar cukai, tiada kos operasi yang tinggi tetapi harga yang kami dapat tak sepadan dengan usaha,” katanya.
Menurut Shafie, penoreh getah lazimnya bekerja 18 atau 20 hari dalam sebulan, setelah ditolak hari hujan.
“Cuba bayangkan kalau sehari dapat RM20, kami kerja 20 hari pun dapat RM400 sahaja dengan kadar getah sekerap sekarang,” katanya.
Beliau yang menoreh di kebun milik orang berharap kerajaan melalui agensi berkaitan menjadi orang tengah untuk membeli getah, dan bukannya dijual kepada peraih yang sedia ada.
“Biar kerajaan yang tetapkan harga dan beli daripada kami dengan harga yang tinggi sedikit.
“Kalau sekilo jual pada RM3, saya rasa okay dan kerajaan boleh dapat untung dengan jual kepada industri berasaskan getah,” jelasnya.

Hidup berpuluh tahun tidak berubah
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penoreh dan Pekebun Getah Padang Terap Ahmad Zulkifli Ismail berkata kehidupan para penoreh getah tidak berubah sejak 20 atau 30 tahun lepas kerana harga getah dijual pada kadar yang sama.
Katanya, masih ada penoreh yang tinggal dengan atap yang rosak, rumah seperti pondok sedangkan negara pula semakin maju.
“Tak kira apa-apa peningkatan ekonomi, kehidupan penoreh masih di tahap yang sama.
Harga kadang-kadang RM2, kadang-kadang bawah lagi,” jelasnya.
“Hasil getah dimonopoli syarikat-syarikat besar, orang yang motong (menoreh getah) itulah paling teruk.
“Nak beli beras 5 kilo pun ada tak mampu, ada yang terpaksa berhutang dengan kedai runcit. Benda ini berlarutan berpuluh tahun lagi,” tambah Zulkifli.

Katanya, kerajaan perlu menubuhkan persatuan khas untuk penoreh getah, seperti nelayan yang mempunyai Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia( LKIM).
“Penoreh getah tiada persatuan bawah agensi kerajaan. Nelayan, peladang mereka ada.
“RISDA gagal daripada segi pembelaan terhadap penoreh getah,” tambahnya.
Sementara itu penganalisis ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berpendapat, situasi yang berlaku itu menunjukkan ketidakadilan ekonomi dan amalan sistem kapitalis.
“Harga getah Standard Malaysian Rubber (SMR) ditentukan permintaan dan penawaran dunia.
“Hari ini Malaysia adalah pengeluar getah yang kecil, negara lain ambil alih contohnya di Indonesia, Thailand dan Vietnam.
“Jadi kita tidak boleh mempengaruhi harga dan ia kekal rendah, maka dinikmati oleh syarikat-syarikat sarung tangan ,” katanya.
Jelasnya, apa yang boleh dilakukan ialah, sesebuah daerah yang mempunyai kawasan kebun getah yang luas membina produk sendiri.
“Pengeluar-pengeluar getah sekerap perlu memikirkan bagaimana getah menjadi produk sendiri.
“Misalnya, mereka boleh membeli mesin membuat sarung tangan yang kecil dan mengambil hasil daripada penoreh untuk memprosesnya sendiri, kita perlu melakukan nilai tambah terhadap hasil pertanian itu,” tambah Barjoyai. – 23 September, 2020.
Komen