Ideologi Muda: Hendak mengepal pasir kering


Ruhan Shahrir

LAPORAN tentang penubuhan parti baru Ikatan Demokratik Malaysia atau Malaysia United Democratic Alliance, atau ringkasnya Muda, lebih menyorot kepada sosok Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sebelum nama parti baru itu diumumkan oleh penggeraknya, ia malah dirujuk sebagai “parti Syed Saddiq”.

Walaupun terdapat sosok-sosok lain yang turut menggerakkan usaha ke arah penubuhan parti baru ini, tapi mereka tak ternampak jelas di ruang awam kecuali Syed Saddiq. Kalau dipetik pun nama-nama sosok lain, mereka lebih bersifat sebagai pemeriah berita bukan pemain utama. 

Namun tidak dapat dipastikan apakah ini bias media yang sengaja menumpukan kepada Syed Saddiq sebagai subjek yang boleh “dijual” atau pun memang strategi kumpulan muda ini untuk menggunakan populariti Syed Saddiq sebagai “modal” utama buat menarik sokongan.

Yang jelas, nama yang diangkat dalam usaha ini terfokus kepada sosok Syed Saddiq. 

Jika ini sebahagian daripada strategi kumpulan ini, maknanya tiada yang muda dan baru. 

Walaupun sosok-sosok penggeraknya muda tapi pendekatannya masih lagi terperangkap dalam bingkai lama yang masih kelihatan feudal, yakni kebergantungan kepada sosok – seperti parti Pejuang dengan sosok Dr Mahathir Mohamad, PKR dengan Anwar Ibrahim, PAS dengan Abdul Hadi Awang, Bersatu dengan Muhyiddin Yassin dan DAP dengan Lim Kit Siang.

Dari sudut ini tiada apa yang muda, baru dan segar. Masih lagi dalam bingkai lama. Tiada apa yang “dipecahkan” walaupun itulah tujuan utama yang dinyatakan oleh Syed Saddiq dalam wawancaranya – “untuk “memecahkan” amalan politik lama.”

Nampaknya dalam realiti kehidupan kata-kata tak semestinya mampu diterjemahkan dalam bentuk perbuatan.

Tapi ini bukanlah masalah yang besar. Ia boleh diubah dengan mula menonjolkan muka-muka baru dari pelbagai kaum, agama, gender, kelas sosial dan wilayah geografi sebagai jurucakap parti di ruang awam dan media.

Yang lebih besar pada hemat saya sebenarnya adalah masalah ideologi yang akan menjadi pegangan, pendirian dan dasar perjuangan Muda. Setakat ini belum ada ideologi yang jelas dan tuntas.

Yang diketahui dari ruang media hanyalah parti ini akan mengumpulkan golongan muda dari pelbagai kaum, budaya, agama dan bahasa serta bermacam sektor masyarakat – politikus, aktivis, korporat, akademik – dalam satu wadah politik.

Mengumpulkan orang muda dari pelbagai kaum, budaya, agama dan bahasa dalam satu wadah politik adalah suatu tujuan yang baik dan seharusnya disokong.  Ini penting untuk mewujudkan rasa bersama sebagai sebuah bangsa. 

Kita sudah punya negara Malaysia tapi kita masih belum punya bangsa Malaysia. Bangsa Malaysia masih dalam proses pembikinan. Belum jadi.

Justeru, kelahiran satu lagi wadah politik pelbagai kaum, budaya agama dan bahasa serta merangkumi pelbagai wilayah geografi adalah suatu yang sangat diperlukan dalam agenda pembinaan bangsa. 

Namun kepelbagaian dan kerencaman ini jugalah yang menjadi cabaran besar buat Muda untuk menuntaskan ideologi parti.

Berdasarkan nama-nama yang dipetik oleh Syed Saddiq kelihatannya mereka ini datang dari pelbagai jalur pemikiran yang berbeza dengan spektrum politik yang juga rencam – dari yang berpemikiran kiri, kiri-tengah, tengah hingga ke kanan juga. Dari yang nasionalis ke kapitalis ke sosialis hingga ke multi-culturalist. 

Jadi, unsur apakah yang akan menjadi penyatu kepada kepelbagaian dan kerencaman yang ada di dalamnya?

Dasar politik, ekonomi, budaya, agama, bahasa, pendidikan, sosial dan alam sekitar yang bagaimanakah akan menjadi teras kepada perjuangan Muda?

Di tambah pula dengan kehadiran sosok-sosok usahawan (baca pemodal/kapitalis) muda dalam parti ini, persoalan utama yang timbul apakah Muda akan menjadi semacam wadah persekongkolan antara politikus muda dan pemodal muda yang akhirnya akan menguntungkan elit-elit ekonomi dan politik semata-mata? 

Sementara rakyat bawahan apakah mereka akan hanya mengemis sisa-sisa hasil tinggalan daripada persekongkolan ini?

Dalam konteks sistem liberal-demokrasi yang diamalkan di Malaysia dan juga kebanyakan negara-negara lain di dunia, ia datang bukan dalam hampawa (vakum). Sistem politik liberal-demokrasi datang bersama-sama sistem ekonomi yang berasaskan modal serta pasar. 

Persekongkolan antara politikus dan pemodal tidak terelakkan dalam mana-mana negara yang mengamalkan sistem liberal-demokrasi. 

Justeru itu, kita masih belum mendapat jawapan yang tuntas dari Muda tentang bagaimana mereka akan menguruskan persoalan persekongkolan antara politikus-pemodal ini kerana jika ianya tidak dikawal dan diuruskan dengan baik, apa yang akan lahir adalah korupsi, rasuah, salah-guna kuasa dan juga pembiakan kroni-kroni kapitalis muda. 

Dengan adanya penggerak-penggerak parti yang mewakili kelas kapitalis/pemodal muda, apakah mungkin persekongkolan politik-ekonomi ini dapat “dipecahkan” amalannya?

Begitu juga dengan persoalan budaya dan bahasa misalnya. Memandangkan sosok-sosok yang menggerakkan ini kelihatannya dari kelompok elit yang mewakili sektor masing-masing – aktivis, koporat dan akademik muda – apakah dasar budaya dan bahasa yang ingin mereka bangunkan? 

Setakat ini dari sekian banyak wawancara bersama Syed Saddiq yang saya lihat, majoritinya adalah dalam bahasa Inggeris. Justeru, di mana letaknya bahasa kebangsaan dalam amalan penggerak-penggeraknya?

Dalam konteks budaya pula, dengan kerencaman jalur pemikiran yang wujud dalam parti ini kita juga masih kabur tentang dasar budaya yang bagaimanakah menjadi asas kepada perjuangan parti mereka. 

Apakah dasar budayanya seperti DAP dengan “Malaysian Malaysia” yang menolak unsur Melayu sebagai budaya teras dan lebih selesa dengan Malaysia yang caca-merba tanpa adanya unsur budaya yang mengikat? 

Atau apakah dasar budaya parti ini seperti PKR yang cenderung pragmatik dan tidak punya program-program budaya yang jelas melainkan bergerak menggunakan retorika “multi-culturalism” yang kabur dan bergantung kepada kawasan pengundian. 

Di kawasan pengundi-pengundi Melayu PKR cenderung mengangkat unsur-unsur budaya Melayu sebagai retorik, manakala di kawasan-kawasan pengundi bukan Melayu retorika “multi-culturalism” pula yang lebih dijadikan pemancing undi. 

Bagaimana pula dengan kedudukan agama Islam dalam Parti Syed Saddiq? 

Dari nama-nama yang aktif menggerakkan usaha ke arah penubuhan parti baru ini, tidak nampak adanya mereka yang dari latar belakang pendidikan tinggi dalam bidang agama Islam. Ini tentunya mengundang persoalan tentang apakah dasar Muda dalam isu-isu yang berkaitan agama Islam?

Ini semua adalah sebahagian kecil daripada persoalan-persoalan yang sukar untuk dijawab jika tiada ideologi yang menjadi panduan bersama. 

Persoalan ideologi seperti ini memerlukan kekuatan intelektual, wibawa kepimpinan dan kebijaksanaan memahami masyarakat serta kehalusan dalam seni menguraikan kerumitan untuk menemukan kesepaduan ideologi di dalam suatu wadah politik yang terdiri daripada pelbagai jenis orang muda dengan latar belakang kaum, budaya, bahasa, kelas sosial dan juga jalur pemikiran yang berbeza.

Melainkan sudah menjadi kesepakatan buat penggerak-penggerak Muda untuk menyapu persoalan-persoalan sukar ini ke bawah tikar, maka persoalan ideologi tidak lagi menjadi penting. 

Jika ini yang menjadi kesepakatan mereka, apa yang mudanya, apa yang masa kitanya dan apa yang ingin “dipecahkan” dari amalan politik yang didakwa lama dan tua itu?

Kemudaan bukan hanya satu-satunya unsur yang mengikat semua orang muda di Malaysia ini. Malahan menyusun gerakan politik yang menggunakan unsur muda dan kemudaan untuk mobilisasi politik pilihan raya adalah suatu kesilapan strategi yang fatal.

Kenapa mobilisasi berdasarkan unsur muda dan kemudaan adalah satu kesilapan strategi yang fatal dalam politik pilihan raya Malaysia? 

Kupasannya di tulisan yang lain. – 22 September, 2020.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen