KKM kesan kluster baharu di Tongod, Sabah


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster itu dikesan hasil saringan di daerah Tongod selepas seorang petugas kesihatan didapati positif menerusi ujain saringan RTK Antigen pada 4 September. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu dikenali kluster Kuarters, di daerah Tongod, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster itu dikesan hasil saringan di daerah tersebut selepas seorang petugas kesihatan didapati positif ujian RTK Antigen pada 4 September.

Petugas Klinik Kesihatan Tongod itu telah disaring sebagai saringan rujukan ke hospital, tetapi ujian pengesahan Covid-19 ke atasnya didapati negatif.

“Saringan di sekitar daerah Tongod yang bermula pada 6 September telah melibatkan masyarakat setempat termasuk petugas Klinik Kesihatan tersebut,” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.

Seramai 117 individu telah disaring dan lima daripada mereka disahkan positif, tambah beliau.

“Kesemua kes positif dalam kluster ini merupakan warganegara. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk rawatan.”

Katanya lagi, seramai 112 individu masih menunggu keputusan ujian saringan.

Dr Noor Hisham berkata langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan kerja pembersihan telahpun dijalankan di Klinik Kesihatan terbabit.

Punca jangkitan masih dalam siasatan, katanya. – 21 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen