FILIPINA pada Isnin menarik balik larangan yang tidak membenarkan jururawat dan pekerja kesihatan pergi dan bekerja di luar negara, kata jurucakap pejabat presiden.
Jurucakap presiden Harry Roque berkata Presiden Rodrigo Duterte membenarkan jururawat dan pekerja kesihatan lain yang mempunyai “dokumen lengkap setakat 31 Ogos” untuk pergi dan bekerja di luar negara, Agensi Anadolu memetik laporan Agensi Berita Filipina.
Pada awal April, negara Asia Tenggara melarang profesional perubatan pergi ke luar negara sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan sistem penjagaan kesihatannya terhadap Covid-19.
Keputusan itu dijangka dapat memberi manfaat kepada 1,500 anggota kesihatan. Berjuta-juta warga Filipina tinggal dan bekerja di AS, Eropah dan Timur Tengah.
Filipina setakat ini melaporkan 286,743 kes Covid-19, yang tertinggi di Asia Tenggara, menurut Johns Hopkins University. Sementara 230,233 pesakit telah pulih, 4,984 meninggal dunia.
Jurucakap itu, bagaimanapun, menyatakan pandemik itu “terkawal.” – Bernama, 21 September, 2020.
Komen