MALAYSIA hari ini melaporkan 57 lagi kes baharu Covid-19 dengan kebanyakan kes berlaku di Sabah.
Kes terbaru itu menjadikan jumlah kes seluruh negara mencecah 10,276.
49 daripada 51 kes jangkitan tempatan baharu dilaporkan di Sabah.
45 kes jangkitan tempatan melibatkan warganegara manakala baki enam kes adalah warga asing.
Malaysia turut melaporkan enam kes jangkitan import hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini, berkata, Kluster Pulau melaporkan 14 kes manakala Kluster Selamat sebanyak 12 kes.
Katanya, Kementerian Kesihatan juga menemui satu lagi kluster baharu dikenali sebagai Kluster Kuarters di Tongod, Sabah.
Kluster itu melaporkan lima kes hari ini, semuanya warga Malaysia.

Sementara itu, Kluster Benteng, Lahad Datu terus merekodkan jangkitan baharu dengan lima kes dilaporkan hari ini.
Empat kes positif dikesan di Hospital Queen Elizabeth, Lahad Datu- dua pesakit bergejala dan dua lagi disah positif ketika mendapat rawatan untuk Penyakit Pernafasan Akut Teruk.
Kes jangkitan lain dilaporkan di Sabah termasuklah dua kes dikesan ketika saringan lokap di Balai Polis Daerah Beaufort dan dua lagi kes melibatkan pelatih pusat rehabilitasi.
Selain kes di Sabah, Kedah dan Selangor turut melaporkan masing-masing satu kes.
Data terbaru itu menjadikan jumlah kes aktif sebanyak 751 kes berbanding 734 semalam.
40 pesakit disahkan pulih hari ini, menjadikan jumlah kes pulih sebanyak 9,397.
Sembilan pesakit kini dirawat dalam ICU dengan dua memerlukan alat bantuan pernafasan.
Tiada kematian baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah korban wabak negara kekal 130 orang. – 21 September, 2020.
Komen