Calon akan tarik diri, elak PN, BN, PBS bertembung, kata Hamzah


Pilihanraya Sabah akan diadakan pada 26 September melibatkan 1.2 juta pengundi, dengan 16,877 pengundi tentera dan polis menunaikan tanggungjawab mereka esok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 21 September, 2020.

GABUNGAN Rakyat Sabah sudah mencapai kata sepakat untuk mengelakkan pertembungan di 17 kerusi melibatkan calon Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dengan calon Parti Bersatu Sabah (PBS), lapor Utusan Malaysia.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin membayangkan beberapa parti sudah bersetuju untuk menarik balik calonnya menjelang hari pengundian pada Sabtu ini, dan pengumuman mengenainya dijangka esok.

“InsyaAllah, perkara ini akan dapat diselesaikan sebelum 26 haribulan. Kalau boleh secepat mungkin, Selasa sudah selesai kita umumkan dan semua akan bersama,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Dalam pilihan raya negeri Sabah, PN dibentuk bersama Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP), sementara BN terdiri daripada Umno, PBRS, MCA. 

PBS bersekutu dengan kedua-dua gabungan itu dan bertanding dengan logonya sendiri, yang kali terakhir dipakai dalam pilihan raya pada 1999.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang juga perdana menteri pada hari penamaan calon pada 12 September lalu mengumumkan tiga parti itu – PN, BN, dan PBS – bekerjasama dalam pilihan raya negeri ini atas nama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Tiga parti itu bagaimanapun bertembung antara satu sama lain di 17 daripada 73 kerusi, dengan 16 daripadanya melibatkan PBS.

Satu lagi kerusi yang bertembung melibatkan PBSR dari BN dan Star yang bersama PN.

Menurut Hamzah, beliau sudah berbincang dengan pemimpin PBS dan Star, dan mereka setuju menyelesaikan isu pertembungan itu.

Di bawah peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diperkenalkan pada 2013, calon yang menarik diri selepas hari penamaan calon, kekal dianggap bertanding dan namanya tetap dicetak pada kertas undi.

Calon yang menarik diri juga akan kehilangan wang pertaruhan, kata SPR.

SPR menetapkan pengundian pada 26 September melibatkan 1.2 juta pengundi, dengan 16,877 pengundi tentera dan polis menunaikan tanggungjawab mereka esok. – 21 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen