Lubnan catat 1,006 kes Covid-19 dalam tempoh 24 jam


Penduduk Lubnan memakai topeng muka berjalan kaki di sekitar Beirut. – Gambar EPA, 21 September, 2020.

LUBNAN semalam mengesahkan 1,006 kes baharu Covid-19 dengan 11 kematian akibat virus itu dalam tempoh 24 jam.

Angka dari kementerian kesihatan itu menjadikan jumlah penduduk Lubnan yang positif wabak itu sejak Februari menjadi 29,303 kes termasuk 297 kematian.

Menteri Kesihatan Hamad Hassan berkata kepada saluran televisyen Al Jadeed bahawa beliau telah meminta pihak berkuasa untuk menguatkuasakan perintah berkurung baharu selama dua minggu bagi memerangi virus berkenaan.

Kes telah meningkat selepas berlakunya letupan besar di pelabuhan Beirut pada 4 Ogos yang mengorbankan lebih 190 orang dan ribuan orang yang mengalami kecederaan telah memenuhi pusat kesihatan di ibu kota.

Pihak berkuasa pada 21 Ogos mengisytiharkan perintah berkurung di semua bahagian negara kecuali yang dilanda letupan selain sekatan keluar di tengah malam.

Ketua hospital awam utama yang memerangi Covid-19 Firass Abiad pada Sabtu melahirkan rasa bimbangnya susulan peningkatan kes.

“Saya tidak dapat tidur malam tadi. Angka korona sangat mengejutkan,” tulisnya di Twitter.

Walaupun terdapa kenaikan kes, “peningkatan mendadak kematian termasuk remaja lelaki berusia 18 tahun adalah berita paling sukar,” katanya. – AFP, 21 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen