52 kes Covid-19 hari ini, kluster baharu di Pulau Pinang


MALAYSIA mencatatkan 52 jangkitan baharu Covid-19 hari ini, 40 daripada angka kes tersebut adalah kes penularan tempatan, kata Kementerian Kesihatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2020.

MALAYSIA mencatatkan 52 jangkitan baharu Covid-19 hari ini, 40 daripada angka kes tersebut adalah kes penularan tempatan, kata Kementerian Kesihatan.

Salah satu kes jangkitan tempatan itu berasal dari kluster baharu di Pulau Pinang, iaitu kluster Ara melibatkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 44 tahun.

Kesnya dikesan melalui pemeriksaan di pintu masuk Sandakan, Sabah, pada 15 September lalu selepas tiba dari semenanjung. 

Kes indeks ini bagaimanapun hanya menjangkiti satu kontak rapat yang dikesan melalui saringan.

Ini menjadikan jumlah kes keseluruhan negara menjadi 10,219 kes.

Daripada 40 kes baharu tempatan, 36 daripadanya datang dari Sabah di mana kluster Benteng LD menyumbang 27 kes positif.

Kedah mendapat 3 kes, sementara Pulau Pinang 1 kes yang berpunca dari kluster Ara.

Di Sabah, dua kes baharu hari ini datang dari kluster Selamat, Pulau (1) dan Bakau (1), dan ujian saringan komuniti di Semporna (1) serta staf kesihatan Hospital Lahad Datu (2).

Dua lagi kes di Sabah melibatkan bukan warganegara didapati di Hospital Lahad Datu dan melalui saringan di tempat kerja.

Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 12 jangkitan baharu melibatkan kes import bukan warganegara.

Sehingga jam 12 tengah hari, 40 telah sembuh, menjadikan jumlah sembuh kepada 9,355.

Kes aktif 734 yang mana 10 berada di unit rawatan rapi dengan dua orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Tiada kematian dilaporkan, menjadikan jumlah kematian kekal 130. – 20 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen