KETIKA semakin ramai pelancong beralih kepada aplikasi perjalanan; blog; platform perkongsian penginapan dan perjalanan; ejen dan pemandu pelancong mendapati perniagaan dalam industri itu semakin mencabar
Pemandu pelancong tempatan di Malaysia terpaksa bergelut sebagaimana keadaan pada 2014, semasa ketibaan pelancong mencecah 27.44 juta, tertinggi dalam satu dekad, menurut data Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Bagaimanapun, bagi Pulau Pinang, bilangan pelancong menggalakkan pada 2017, dengan kenaikan pertambahan pelancong asing sebanyak 8% dari Januari hingga Ogos, berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Ketibaan melalui kapal pelayaran antarabangsa juga meningkat.
Di sebalik bilangan ini, pelbagai faktor, termasuk platform digital yang membolehkan perjalanan dilakukan urusan sendiri, menyebabkan para pemandu pelancong berhenti bekerja bagi pekerjaan lebih baik, kata pakar panduan warisan kebudayaan dan jurulatih yang disahkan Unesco, Joann Khaw.
Ia juga menjadi lebih sukar bagi pemandu pelancong baru untuk memasuki industri itu, kata pemandu pelancong veteran Pulau Pinang itu.
“Terdapat agensi perjalanan yang lebih sedikit sekarang dan lebih suka bekerja dengan pemandu pelancong berpengalaman,” kata jurulatih vokasional yang disahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran.
Terdapat kira-kira 14,000 pemandu pelancong berlesen di negara ini dan sekurang-kurangnya 15 persatuan pemandu pelancong. Persatuan Pulau Pinang mempunyai lebih 700 pemandu pelancong tetapi hanya kira-kira 40% bekerja sepenuh masa.
Khaw, yang menjadi pemandu pelancong berlesen sejak 1991, berkata perniagaannya merosot sejak 2012. Penurunan yang dialami oleh beberapa pemandu pelancong, katanya, disebabkan beberapa faktor.
Aplikasi dan persaingan warga asing
Aplikasi perjalanan seperi Airbnb Trip, Google Trips, dan Guides daripada Lonely Planet menjadikan perancangan percutian dan survey begitu mudah kepada pelancong, katanya.
“Pelancong, yang mengambil kesempatan daripada diskaun saat akhir oleh hotel bagi perjalanan singkat, selalunya tidak memerlukan pemandu pelancong. Anda boleh lihat mereka menggunakan telefon pintar untuk membantunya.
“Terdapat juga ramai pelancong ‘selfie’ yang hanya berminat untuk mengambil gambar,” kata Khaw, pakar industri hospitaliti dan pelancongan yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran.
“Sesetengah pelancong juga mendapat maklumat daripada pemandu Uber atau Grab tempatan. Beberapa pemandu pelancong juga bekerja sebagai pemandu e-hailing.”
Khaw berkata sesetengah hotel juga menawarkan lawatan dengan pemandu pelancong berlesen atau “penduduk tempatan” tanpa lesen, yang juga boleh jadi warga Barat yang tinggal di Pulau Pinang selama beberapa bulan.
Katanya lagi, sesetengah penduduk tempatan Eropah mengiklankan perkhidmatan mereka di laman media sosial dan risalah yang ditempatkan di beberapa hotel di George Town, tapak warisan dunia Unesco.
“Mereka tidak mempunyai lesen daripada Kementerian Pelancongan, tidak seperti pemandu pelancong berlesen yang berdepan denda jika gagal mendapat pensijilan pendidikan yang berkaitan dengan pelancongan, memperbaharui lesennya setiap tahun, memaparkannya semasa bekerja, dan mengikuti kod berpakaian.”
Khaw berkata beberapa agensi kerajaan menawarkan lawatan percuma seperti biro pelancongan negeri Penang Global Tourism (PGT) yang menawarkan lawatan dengan pemandu pelancong pada hujung minggu tertentu di Taman Botani Pulau Pinang, George Town dan jirat Protestan.
Beliau berkata beberapa pelancong akan membatalkan tempahan mereka selepas mengetahui mengenai lawatan percuma.
“Kuala Lumpur, Melaka dan Pahang juga mempunyai lawatan percuma. Pemandu pelancong dalam program ini dibayar RM100 sejam bagi perkhidmatan mereka.
“Ia bagus untuk mereka tetapi ada yang fikir kesannya? Malaysia membayar bagi percutian para pelancong.
“Adakah anda fikir ada mana-mana negara di Eropah akan membayar lawatan anda? Lawatan percuma di Eropah tidak dibiayai kerajaan mereka. Pelancong membayar tip,” katanya sambil menambah dana kerajaan perlu dibelanjakan untuk memperbaiki kehidupan rakyat Malaysia.
Bergantung pada kumpulan besar
Pergelutan yang dihadapi pemandu pelancong tempatan datang apabila Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz berkata lebih RM300 juta diperlukan untuk meningkatkan industri dengan memberi tumpuan kepada pelancong dari India dan China.
Walaupun terdapat cabaran, pemandu pelancong masih mempunyai pasaran tertentu yang bergantung kepada perkhidmatan mereka, seperti kumpulan dari China, Thailand, India dan Indonesia.
Khaw berkata di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, mereka masih memperoleh perniagaan daripada penumpang kapal persiaran, rombongan sekolah, individu dengan keperluan khas dan warga emas.
Presiden Persatuan Pelancongan Pulau Pinang Chin Poh Chin berkata, perniagaan baik dalam sektor tertentu seperti penumpang kapal persiaran dan kumpulan MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran).
“Dari Oktober hingga April tahun depan, terdapat kapal persiaran yang datang ke Pulau Pinang 20 hari sebulan.
“Kumpulan ini membuatkan kami sibuk. Kami sering perlu mendapatkan pemandu pelancong dari luar datang dan membantu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Chin, pemandu pelancong dengan pengalaman selama 32 tahun dalam industri itu, berkata masa depan industri itu pergantung kepada pelancong MICE.
“Wang ada pada MICE. Kami mula melihat sektor ini sekarang manakala destinasi lain seperti Singapura dan Hong Kong jauh meninggalkan kita.”
Pelancong ahli perniagaan lebih banyak berbelanja berbanding pelancong biasa. Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), badan kebangsaan bagi MICE, berkata pelancong perniagaan membelanjakan kira-kira RM6.8 bilion di Malaysia antara 2010 dan 2015, sekurang-kurangnya 3.5 kali ganda daripada pelancong biasa.
Pulau Pinang, yang secara aktif mempromosikan ia sebagai destinasi MICE, mencatatkan impak ekonomi sebanyak RM900 juta daripada industri itu dalam tempoh sembilan bulan pertama pada 2017.
Selamatkan warisan lama
Chin dan Khaw percaya perniagaan pemandu pelancong akan berkembang walaupun menghadapi cabaran.
Keyakinan mereka berdasarkan khabar mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang akan mendapat peningkatan 12 juta penumpang dan bilangan penginap hotel yang lebih baik.
Pengendali bas pelancongan juga nampaknya memperluas pengangkutan mereka.
Pemandu pelancongan hanya perlu mempertingkatkan kemahiran mereka dan menyesuaikan diri dengan pasaran, seperti menguasai bahasa Mandarin dan Inggeris dengan baik, selain bersedia bekerja di luar kawasan, kata mereka.
Bagaimanapun, mereka bimbang tentang ketahanan daya tarikan di George Town memandangkan proses gentrification memaksa keluar penduduk asalnya dan warisan tidak ketara (intangible heritage).
“Pelancongan mampan adalah mengenai melindungi kepentingan penduduk tempatan dan alam sekitar. Pelancongan harus membawa pertumbuhan ekonomi rakyat, mencipta peluang pekerjaan dan pembangunan infrastruktur,” kata Khaw.
Ia bukan sekadar bilangan ketibaan pelancong yang semakin bertambah dan memenuhi KPI (indikator prestasi utama), tambah Khaw.
Bandar raya warisan dunia George Town memerlukan pengurusan, pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih baik, katanya.
“Tanpa warganya dan warisan tidak ketara, kita akan ditinggalkan dengan warisan ketara yang tandus dan tiada jiwa.
“Seorang pemandu pelancong boleh membuatkan sejarah menarik dan cerita menjadi hidup tetapi (bagaimana jika) terdapat hanya kedai-kedai perhiasan, kafe dan hotel untuk dilihat di bandar raya warisan dunia George Town?” – 13 Disember, 2017.
Komen