Pemilik restoran, bar mahu SOP lebih jelas untuk elak pelanggaran


Noel Achariam

Industri minuman dan makanan masih bergelut walaupun PKPP memberikan lebih banyak kelonggaran operasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2020.

PEMILIK restoran dan bar akan meminta penjelasan pihak berkuasa bagi menangani isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang menyebabkan ratusan pelanggannya ditahan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Mereka memberitahu The Malaysia Insight yang mereka masih tidak jelas dan pasti dengan pelaksanaan peraturan dan syarat di bawah PKPP kerana wujud beberapa set peraturan berbeza dibuat pihak berkuasa.

Mereka juga berharap pihak berkuasa dapat menjelaskan SOP tersebut untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku lagi.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Persatuan Pub, Kelab Malam dan Bar Malaysia William Lee berkata mereka masih mengumpul maklumat tahanan dan kompaun daripada ahli mereka.

“Kami perlukan gambaran lebih jelas untuk buat ulasan yang adil.

“Kami mahu berhubung dengan pihak berkuasa bagi mencari penyelesaian untuk mengelak pelanggaran garis panduan PKPP dan penjelasan pendirian pelbagai pihak berkuasa dalam isu ini,” kata Lee kepada The Malaysian Insight.

Katanya, tindakan itu penting kerana ada ahli mereka yang keliru dengan pelaksanaan dan penguatkuasaan SOP.

Minggu lepas, lebih 1,000 pelanggan ditahan dan dikompaun kerana melanggar SOP PKPP di bar dan restoran.

Perbezaan SOP dikuatkuasa pihak berkuasa berkaitan menyebabkan ramai pemilik keliru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2020.

Kesalahan itu termasuklah tiada penjarakan fizikal, parti persendirian, kegagalan merekodkan kehadiran, tidak memakai pelitup muka dan premis beroperasi melebihi tempoh masa ditetapkan.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob malah turut menggesa polis dan pihak berkuasa tempatan bertindak tegas ke atas pemilik kelab malam dan pub, termasuk mengheret mereka ke mahkamah dan membatalkan lesen perniagaan mereka kerana pelanggaran SOP PKPP.

Kelab malam dan pub sepatutnya masih tidak boleh dibuka sepanjang PKPP.

Menurut persatuan, terdapat sejumlah 4,500 pemilik yang menguruskan 6,000 premis bar, kelab malam, pub dan restoran di seluruh negara.

Perlu tegas

Logan Terence Gomez yang menguruskan sebuah restoran di Bangsar berkata kedai dan pelanggan perlu bertanggungjawab mematuhi SOP.

“Restoran perlu sangat tegas. Masa sekarang memang susah dan mereka perlu buat duit balik, tetapi saya rasa ramai yang ambil mudah (SOP).

“Ada peluang besar yang situasi ini akan memberi kesan kepada situasi semasa Covid-19.

“Mereka (pelanggan) juga janganlah ambil peluang (pergi ke tempat sesak).”

Gomez berkata perniagaan sekarang perlu buat duit untuk terus bertahan tetapi jika mereka tak penuhi tanggungjawab situasi mungkin bertambah buruk.

“Bagi mereka yang melanjutkan jam operasi mereka (melebihi tempoh ditetapkan), sebabnya mereka hendak buat duit lebih yang tidak sepatutnya berlaku. Saya rasa orang kadang-kadang pentingkan diri sendiri.”

Tambahnya, kerajaan juga perlu lebih jelas tentang SOP.

“Semua orang nampaknya ada peraturan berbeza. DBKL kata lain dan pihak berkuasa lain kata lain.

“Jadi, mereka perlu jelaskan semua ini.”

Antara SOP yang perlu dipatuhi premis perniagaan adalah pemeriksaan suhu badan pelanggan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2020.

Seorang pengurus bar di Kuala Lumpur yang hanya mahu dikenali sebagai Jay berkata kebanyakan kedai terutama kedai makan mematuhi SOP.

“Mereka yang dikompaun adalah mereka yang buka selepas masa ditetapkan.

“Semua orang terjejas. Jadi, mereka mahu beroperasi lebih jam untuk dapat duit lebih.”

Katanya, kerajaan perlu bertindak ke atas mereka yang gagal patuh garis panduan.

“Kita kena ikut SOP kerana kita masih dalam PKPP untuk halang penularan Covid-19.”

Perniagaan masih teruk

Seorang pemilik restoran yang enggan dinamakan berkata kedai mungkin melanggar SOP kerana perniagaan masih teruk.

Katanya, ini berlaku walaupun lebih banyak sektor dibuka semasa PKPP.

“Kita dapat lihat ada tempat yang mungkin tak patuh SOP. Ini tak sepatutnya berlaku.

“Tetapi, susah hendak salahkan sesiapa kerana perniagaan sangat teruk sekarang dan mereka terdesak nak balik modal.”

Pelanggan dan premis perniagaan perlu patuh SOP Covid-19 untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2020.

Katanya, pemilik kedai bagaimanapun perlu lebih bertanggungjawab kerana keselamatan lebih utama.

“Kedai tak boleh buat masalah dengan tak ikut SOP. Jika ada undang-undang untuk diikuti, kita patut ikut.”

Tambahnya, jika kedai terus melanggar undang-undang, tindakan perlu diambil.

Beliau turut menasihati pengurusan kedai supaya memastikan pelanggan mereka patuh SOP. – 21 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen