24,000 korban akibat Covid-19 di Iran


Dalam 24 jam, 2,845 orang didapati positif Covid-19,langsung meningkatkan jumlah menjadi 419,043, kata kementerian kesihatan Iran. – Gambar AFP, 19 September, 2020.

KEMATIAN di Iran akibat Covid-19 telah mencapai 24,000 orang, kata kementerian kesihatan Iran yang turut menyalahkan kurangnya penggunaan topeng muka oleh orang ramai.

Angka “menunjukkan bahawa penggunaan topeng menurun, dan pada saat yang sama kita melihat peningkatan jangkitan,” kata jurucakap kementerian kesihatan Sima Sadat Lari dalam kenyataan di televisyen.

“Jangan kita lupa bahawa keadaan yang berlaku sekarang mencerminkan tahap kesedaran kita terhadap protokol kesihatan dan penggunaan topeng,” katanya.

Sejak akhir Februari, Iran telah memerangi pandemik Covid-19.

Jangkitan dan kematian telah meningkat bulan ini.

Jangkitan harian kekal 2,000 ke atas selama dua minggu terakhir dan mencapai paras tertinggi 3,574 yang pernah dicapai pada awal Jun lalu.

Dalam 24 jam, 2,845 orang didapati positif Covid-19,langsung meningkatkan jumlah menjadi 419,043, kata kementerian itu lagi.

Sebanyak 166 kematian akibat penyakit itu dicatatkan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 24,118 orang.

Ada keraguan di dalam dan luar negera mengenai angka rasmi Iran, di tengah-tengah kebimbangan bahawa jumlah sebenar boleh jadi jauh lebih tinggi.

Iran telah mewajibkan topeng memakai di tempat awam tertutup dan berulang kali meminta orang ramai untuk tidak melakukan perjalanan yang tidak penting. – AFP, 19 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen