KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengenalpasti satu lagi kluster baharu Covid-19 dikenali sebagai Kluster Bakau yang melibatkan tiga kes jangkitan di Semporna, Sabah.
Kes indeks kluster itu adalah seorang wanita Filipina yang merupakan korban ke-129 pada 18 September lalu.
Wanita itu mendapatkan rawatan di sebuah pusat kesihatan kerana mengalami batuk dan sukar bernafas sebelum dirujuk ke Hospital Semporna.
Namun dia tidak ke hospital walaupun diminta berbuat demikian.
Kemudian dia dimasukkan ke Hospital Semporna dalam keadaan tidak sedarkan diri dan diisytiharkan meninggal dunia pada 14 September lalu.
“Dua kes positif daripada Kluster Bakau susulan ujian saringan terhadap kontak rapat mangsa,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Seorang daripada mereka merupakan rakyat Malaysia dan seorang lagi rakyat Filipina.
Sumber jangkitan itu masih disiasat.
Kedua-dua mangsa kini mendapatkan rawatan di Hospital Tawau.
Pihak kesihatan telah menyaring seramai 109 individu setakat tengah hari ini dan masih menunggu keputusan 106 orang.
Noor Hisham berkata proses sanitasi dan penyahkuman telah dijalankan di Hospital Semporna.
Dalam tempoh 24 jam lepas, Malaysia mencatatkan 20 kes baharu dengan lapan daripada direkodkan di Sabah. – 19 September, 2020.
Komen