JUMLAH kematian akibat Covid-19 di Malaysia mencecah 130 hari ini selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan pertambahan satu kematian lagi tadi.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkata, korban terbaharu itu merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 82 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit strok serta sukar bergerak sendiri sejak Mac 2020 akibat patah tulang utama di kaki.
“Pada 7 September 2020, beliau telah dikesan sebagai kontak rapat kepada anak dan cucu beliau yang merupakan kes positif dalam Kluster Sungai,” katanya.
Mangsa dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah dan saringan Covid-19 mendapati beliau positif pada 9 September 2020. Keadaan beliau didapati merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Beliau disahkan meninggal dunia pada 18 September 2020 jam 5.45 petang.
Sehingga tengah hari tadi, Malaysia mencatatkan 20 kes positif hari ini yang mana 17 merupakan penyebaran lokal.
Sembilan penyebaran lokal dari Kedah, yang mana lapan kes berpunca dari kluster Sungai.
Kes kesembilan merupakan pesakit yang dimasukkan kerana kes Severe Acute Respiratory Illness (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah.
Sementara itu, Sabah mencatat lapan kes tempatan.
Tiga pesakit yang dirujuk di Hospital Tawau disahkan positif. Dua daripada mereka merupakan warganera asing.
Pada masa sama, kluster Benteng LD dan kluster baharu dikenali sebagai kluster Bakau masing-masing melaporkan satu kes jangkitan.
Di Tawau, terdapat satu kes SARI dan satu lagi dari ujian saringan komuniti.
Kes lain dikesan di Hospital Keningau di mana pesakit telah melalui saringan pra pembedahan.
Terdapat 14 kes yang disebarkan secara lokal melibatkan tiga warga asing.
Kes terbaharu ini melonjakkan lagi jumah kes keseluruhan menjadi 10,167.
Dalam pada itu, jumlah kes sembuh melangkaui kes baharu dengan 51 kes pulih daripada hospital dalam tempoh 24 jam selepas sembuh dari Covid-19.
Dengan ini, jumlah keseluruhan yang telah pulih meningkat kepada 9,315.
Kes aktif menurun kepada 722 daripada 754 kes semalam.
Sehingga kini, terdapat 12 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan. – 19 September, 2020.

Komen