PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin mengingatkan umat Islam di negara ini supaya berhati-hati dan berjaga-jaga sebelum mengambil sebarang langkah ekstrem untuk mempertahankan agama mereka.
Beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang amalan ekstremisme yang boleh menggugat keharmonian sesama kaum di negara ini.
“Kita perlu ingat bahawa Malaysia merupakan negara pelbagai kaum yang sentiasa mengutamakan kesederhanaan dan keharmonian sesama kaum dan agama.
“Oleh itu kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk amalan ekstremisme yang boleh menggugat keharmonian kaum, ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya ketuka berucap pada satu mesyuarat khas yang dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) hari ini.
Muhyiddin berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyebarkan fahaman ekstremis.
“Tindakan tegas mengikut lunas undang-undang akan diambil terhadap mereka yang menyebarkan amalan dan ideologi ektremis,” katanya.
Muhyiddin berkata ramai pemimpin NGO Islam yang bertemunya untuk membangkitkan kebimbangan berhubung cabaran yang dihadapi umat Islam di negara ini dan seluruh dunia termasuk dalam soal cara hidup dan pemikiran.
“Antaranya perkembangan baharu dalam pemikiran dan cara hidup baharu yang dilihat menggugat kepercayaan dan pegangan Islam.
“Ini termasuk pengaruh ideologi liberalisme dan sekularisme Barat yang tidak menitikberatkan agama dalam kehidupan manusia,” katanya.
Antara yang hadir ke pertemuan itu termasuk Menteri Agama Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Presiden Yadim Nasrudin Hassan. – 19 September, 2020.
Komen