Ujian saringan Covid-19 MB Kedah negatif


Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, disahkan negatif ujian saringan Covid-19. – Gambar Facebook, 19 September, 2020.

KESEMUA sampel ujian saringan Covid-19 yang diambil ke atas 56 individu termasuk Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor semalam, disahkan negatif.

Pejabat Menteri Besar Kedah dalam kenyataan hari ini memaklumkan sampel terhadap tiga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang turut menjalani saringan itu juga negatif.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah Dr Mohd Fikri Ujang yang mengesahkan perkara itu memaklumkan tiga anggota Exco berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Dr Mohd Hayati Othman; Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Najmi Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Wan Romaini Wan Salim.

“Ujian itu turut melibatkan pegawai Pejabat Menteri Besar Kedah dan beberapa pimpinan PAS Kedah yang menghadiri program penyerahan sumbangan PAS Kedah kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Kota Setar di Wisma Darul Aman, pada 14 September lalu.

“Ujian itu diadakan berikutan salah seorang yang menghadiri program berkenaan disahkan positif Covid-19, dua hari lalu,” katanya. 

Justeru beliau, menasihatkan semua individu termasuk yang tinggal di luar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran agar terus mematuhi prosedur operasi standard terutama dengan memakai pelitup muka, mencuci tangan dan mengamalkan penjarakan fizikal. – Bernama, 19 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen