AKTIVIS Khaidir Ahmad mendedahkan, beliau berjaya melihat sendiri kegiatan penerokaan haram di kawasan hutan simpan di Bentong apabila dibawa ke lokasi tersebut oleh individu yang terlibat.
Presiden Perikatan Pencinta Alam Malaysia (Alam) itu berkata beliau mengesyakinya apabila terdapat peladang durian memesan benih durian dan buah-buahan lain dengan jumlah besar.
Beliau yang membekal benih berkenaan berkata, antara yang dipesan itu terdiri daripada jenis Musang King, yang menghasilkan buah dengan permintaan tinggi di luar negara.
Berdasarkan perbualannya dengan individu berkenaan, Khaidir berkata beliau diberitahu benih tanaman bernilai puluhan ribu ringgit itu akan ditanam di atas tanah berkeluasan 40 ekar.
Individu itu mendedahkan ia akan ditanam di tanah yang diteroka secara haram sejak 30 tahun lalu di kawasan hutan simpan di Bentong.
“Mereka memang ceroboh. Itu kawasan hutan simpan. Beribu-ribu ekar sudah ditanam durian Musang King,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ketika dibawa melawat tapak tersebut semasa menghantar benih oleh individu berkenaan, beliau mendapat tahu setiap lot projek tanah haram itu dijual kepada pelabur dengan harga amat murah.
Ia membolehkan kalangan pelabur membeli tanah berkenaan dengan harga serendah RM5,000 hingga RM15,000 seekar bergantung kepada bentuk muka bumi, dakwanya.
Katanya, lot tanah di kawasan bukit, lembah dan kedudukan paling hampir dengan sungai berjeram batu diletakkan harga paling mahal.
Tambahnya, beliau turut ditawarkan tanah antara yang terbaik dikawasan yang diceroboh itu dengan harga RM12,000 bagi tiga lot tanah berkeluasan 12 ekar.
“Saya sayang kawasan ini ada jeram, air terjun tapi mereka suka-suka hati jual hingga RM15,000 seekar.
“Ini masalahnya apabila tiada tindakan segera. Lama-kelamaan ia akan berlarutan,” kata bekas wartawan itu yang banyak mendedahkan jenayah alam sekitar semasa berkhidmat di TV3.
Di Raub, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sudahpun merampas dokumen dari pejabat tanah dan pejabat hutan melibatkan kes penerokaan haram tanah untuk tanaman durian.
Seramai 23 orang pekebun di daerah itu juga sudahpun dipanggil untuk memberi keterangan siasatan.
Seramai 118 pekebun mendapat perintah sementara pada 28 Ogos untuk menggantung arahan pengosongan tanah dan berusaha mendapatkan geran ke atas tanah haram itu.
Mereka menubuhkan Perikatan Selamatkan Musang King (Samka) yang antara lain digerakkan aktivis DAP untuk mendapatkan pajakan ke atas 2,168 hektar tanah.
Samka antara lain memberi alasan peneroka tanah haram itu memberi keuntungan kepada negara dengan eksport durian Musang King sejak bertahun-tahun lamanya.
Peneroka tersebut kini berlaga dengan syarikat Royal Pahang Durian yang ditubuhkan bagi mengekang pembukaan tanah haram untuk penanaman durian.
Royal Pahang Durian satu syarikat usaha sama melibatkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang.
Menurut kerajaan Pahang, negeri itu kehilangan hasil cukai tanah kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun lalu daripada penerokaan hutan simpan terbabit. – 19 September, 2020.
Komen