KERAJAAN Quebec mengumumkan pada Jumaat pihaknya akan menghantar polis ke lebih 1,000 bar dan restoran pada hujung minggu untuk memastikan kepatuhan terhadap langkah pencegahan penyebaran koronavirus.
“Ini adalah operasi besar-besaran yang bertujuan untuk mengesan tempat terdapat masalah,” kata menteri keselamatan awam wilayah itu, Genevieve Guilbault, pada sidang akhbar.
Katanya, polis akan “memastikan peraturan kesihatan awam dipatuhi oleh operator dan pelanggan” dan akan mengenakan denda.
Mereka juga akan melaksanakan larangan baharu penjualan alkohol selepas tengah malam, semasa wabak.
Menari dan menyanyi karaoke juga dilarang.
Minggu lalu, Quebec mengumumkan denda tinggi hingga $6,000 (AS$4,500) terhadap rakyatnya yang enggan memakai pelitup muka, yang diwajibkan sejak 18 Julai di ruang awam tertutup.
Negeri jiran Ontario juga mengharamkan perjumpaan besar dan parti persendirian.
Kedua-dua wilayah tersebut paling terjejas di Kanada oleh wabak itu, dan menyaksikan jumlah kes baharu mereka meningkat dalam beberapa minggu terakhir.
Secara keseluruhan, Kanada mencatatkan lebih 141,000 kes koronavirus dan 9,240 kematian. – AFP, 19 September, 2020.
Komen