Parti berasaskan kaum masih relevan, kata Ku Li


Alfian Z.M. Tahir Diyana Ibrahim

Hampir kesemua parti politik di Malaysia berasaskan kaum termasuk Umno kecuali beberapa parti yang menyatakan dengan jelas penubuhannya sebagai parti pelbagai kaum seperti PKR, Gerakan dan PSM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2020.

PARTI politik berasaskan kaum masih relevan selagi ia bermatlamatkan perjuangan untuk rakyat dan negara, kata Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau menjelaskan polemik di sebalik pembentukan parti Melayu utama dalam negara – PAS, Umno, dan kini Bersatu yang bergabung dalam Muafakat Nasional (MN). 

“Kita berhak tubuhkan parti kita. Sebagaimana bila kita tubuh Umno yang mendapat restu Sultan Johor ketika itu.

“Dan ia masih relevan selagi kita berjuang untuk kepentingan rakyat dan negara.

“Tapi kita kena ambil kira perkembangan sekitar dunia supaya kita tak ketinggalan zaman dalam bentuk apa jua tindakan yang kita buat,” katanya dalam wawancara khas dengan Insight Talk.

Umno membentuk MN dengan PAS sebagai strategi untuk mengelak pertembungan kedua-dua parti dalam pilihan raya umum akan datang.

Ia ekoran kekalahan Umno dalam pilihan raya umum 2018 selepas menguasai pentadbiran negara lebih 60 tahun.

Satu lagi parti majoriti Melayu, Bersatu, yang keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan menyebabkan peralihan kerajaan pada Februari lalu juga kini menyertai MN.

Ketiga-tiganya menjadi tonggak utama kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad

Mengulas isu tu, Tengku Razaleigh berkata walaupun parti itu berasaskan kaum ia bukan hanya menjaga kepentingan Melayu.

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata parti berasaskan kaum masih relevan selagi ia berjuang untuk kepentingan rakyat dan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2020.

Ahli Parlimen Gua Musang memberi contoh penubuhan Umno yang menurutnya lebih kepada perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

“Kita bukanlah bergerak kerana bangsa atau keturunan, kita tidak kerana kita berbentuk perjuangan kebangsaan untuk mengisi kemerdekaan ketika itu.

“Pelbagai kita dah buat dan kita bina jalan bukan untuk Orang Melayu saja kita bina jalan untuk semua pihak. Kita bina sekolah bukan untuk Melayu, Umno saja tapi semua pihak,” katanya.

Umno yang ditubuhkan oleh Onn Jaafar pada Mei 1946 menentang pembentukan Malayan Union tetapi tidak bersama gerakan kiri yang menuntut kemerdekaan sepenuhnya daripada British.

Parti itu kalah pilihan raya 2018 tetapi berjaya menjadi kerajaan semula dalam pentadbiran pimpinan Bersatu.

Hampir kesemua parti politik di Malaysia berasaskan kaum kecuali beberapa parti yang menyatakan dengan jelas penubuhannya sebagai parti pelbagai kaum seperti PKR, Gerakan dan PSM. – 19 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen