Bekas timbalan pengarah Jabatan Air Sabah akan didakwa esok 


Jason Santos

Kedua-duanya ditahan pada 4 Oktober tahun lalu yang merupakan rampasan wang terbesar SPRM, membabitkan aset bernilai RM114 juta, termasuk wang tunai RM53.7 juta di rumah mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2017.

BEKAS timbalan pengarah Jabatan Air Sabah, Teo Chee Kong, yang ditahan hari ini berhubung siasatan kes penyelewengan yang mana beliau turut ditahan tahun lalu, dijangka akan didakwa di mahkamah esok. 

Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki mengesahkan perkara itu susulan penahanan Teo di Kota Kinabalu hari ini. 

Teo bersama seorang lagi bekas pengarah Jabatan Air Sabah, Ag Tahir Ag Alip, disiasat kerana didakwa menyalahgunakan kuasa dan penggubahan wang berkaitan kontrak bernilai RM3.3 bilion untuk projek yang dibiayai kerajaan persekutuan kepada jabatan itu sejak 2010. 

Kedua-duanya ditahan pada 4 Oktober tahun lalu yang merupakan rampasan wang terbesar SPRM, membabitkan aset bernilai RM114 juta, termasuk wang tunai RM53.7 juta di rumah mereka. 

Teo turut memiliki 127 tanah dan kira-kira RM29 juta dalam akaun di luar negara. 

SPRM turut merampas sembilan kenderaan bernilai RM2.7 juta, barang kemas bernilai RM3.64 juta dan beg tangan berjenama bernilai RM500,000. 
 
Tiga kakitangan Jabatan Air Sabah turut menyerahkan secara sukarela kira-kira RM1 juta yang didakwa diterima dalam proses meluluskan projek bekalan air. 

Masyarakat tempatan menggelarkan kes itu sebagai “Sabah Watergate”. – 12 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen