PARTI baharu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Muda (Ikatan Demokratik Malaysia) menafikan dakwaan yang ia meniru identiti sebuah organisasi belia.
Semalam, sebuah badan bukan kerajaan berpangkalan di Johor, Muda! mengecam Syed Saddiq yang didakwa mereka meniru identitinya untuk parti politik anak mudanya.
Muda! Mendakwa mereka sudah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Bagaimanapun, sumber dalam parti Muda memberitahu The Malaysian Insight yang semakan mereka dalam pangkalan data RoS tidak menunjukkan sebarang bukti kewujudan organisasi lain yang menggunakan nama “Muda”.
“Kami sudah periksa dengan RoS dan mereka beritahu kami yang tiada yang berdaftar seperti kami,” kata sumber.
Dalam surat tular di Twitter menunjukkan Muda! Atau Milennial Union Democratic Alliance dinamakan sebagai Pertubuhan Aktivis Negeri Johor.
Semakan dibuat The Malaysian Insight dalam laman web RoS juga tidak menemui sebarang organisasi atau parti didaftarkan sebagai Muda!.
Bagaimanapun, semakan menemui Pertubuhan Aktivis Negeri Johor dalam pangkalan data RoS.
Sumber parti Syed Saddiq bagaimanapun enggan mengulas tentang persamaan logo Muda dengan Muda!.

Pengasas Muda! Onn Mahathir memberitahu Malaysiakini yang NGO itu sudah wujud sejak 2018 lagi.
Onn berkata beliau tidak peduli tentang penubuhan parti politik baharu diterajui Syed Saddiq, bagaimanapun beliau menggesa bekas ketua Pemuda Bersatu itu mengubah identiti partinya supaya tidak mengelirukan rakyat.
“Kalau Syed Saddiq buat parti politik, patut ada idea barulah. Sebab masa dia dalam Bersatu dulu pun, dia tak guna (istilah) sayap pemuda, dia guna sayap Armada.
“Jadi, bila dia dapat idea parti baru dan logo yang mirip dengan kita, saya rasa dia ketandusan idea,” kata Onn.
Tambah Onn, beliau menyedari persamaan itu apabila melihat Syed Saddiq di Sabah memakai baju tertera perkataan “Muda”.
Bagaimanapun, usahanya berhubungan dengan Syed Saddiq untuk membincangkan perkara itu tidak mendapat balasan.
“Dia tak balas kebimbangan kami menerusi Facebook, Twitter dan Instagram.”
Tambah Onn lagi, Muda! Sudah beberapa tahun wujud dan menganjurkan pelbagai acara, maka mustahil Syed Saddiq yang juga ahli Parlimen Muar itu tidak pernah mendengar tentangnya.
Parti Muda yang ditubuhkan Syed Saddiq adalah parti pelbagai kaum dan agama diterajui anak muda. – 18 September, 2020.
Komen