MENTERI Perancangan Pembangunan Nasional Indonesia Suharso Monoarfa dan Duta Besar Kesatuan Eropah (EU) ke Indonesia dan Brunei Vincent Piket pada Khamis melancarkan Penerbitan Bersama EU-Indonesia 2020 “Membangun Kapasiti untuk Pertumbuhan Hijau” pada satu majlis yang diadakan secara dalam talian.
Bercakap kepada media, Monoarfa berkata penerbitan itu merangkumi usaha dalam memajukan pembangunan lestari bagi mengurangkan kesan perubahan iklim dan juga menyoroti pencapaian utama program pembangunan EU dan negara-negara anggotanya bersama Indonesia.
Menurutnya, kerjasama Indonesia-EU akan menyokong pertumbuhan ekonomi, sistem kesihatan, pendidikan, perkembangan sosial, dan perlindungan alam sekitar, lapor agensi berita Vietnam (VNA).
Di pihaknya, Piket berkata, EU baru-baru ini melancarkan pakej “Team Europe” bertujuan menyokong tindak balas Indonesia terhadap pandemik Covid-19.
Akan datang, kerjasama dengan Indonesia akan merangkumi kaedah inovatif untuk membiayai peralihan hijau, pembangunan bandar dan pengurusan sumber asli secara lestari.
Tahun lalu, lebih daripada 1,600 biasiswa tahunan diberikan kepada pelajar Indonesia melalui program Erasmus + EU dan skim biasiswa negara anggotanya. – Bernama, 18 September, 2020.
Komen