Satu lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Sabah


Aminah Farid

Kluster Selamat dikesan di Semporna, Sabah, berpunca daripada seorang wanita yang dikesan positif ketika menjalani pemeriksaan kehamilan. – Gambar AFP, 17 September, 2020.

SATU lagi kluster Covid-19 dan 21 jangkitan baharu Covid-19 dikesan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Kluster baharu yang dikenali sebagai Selamat dikesan di Semporna, Sabah, berpunca dari seorang wanita warganegara berusia 32 tahun yang dikesan positif ketika menjalani pemeriksaan apabila dimasukkan ke hospital di Tawau susulan kelahiran pramatang.

Seorang pegawai perubatan yang merawatnya kemudian dijangkiti virus itu.

Sebanyak 116 individu disaring dalam kluster Selamat, kata Noor Hisham dalam satu kenyataan.

Kes baharu ini menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan negara kepada 10,052.

Daripada 21 kes baharu, 16 adalah penularan tempatan dan lima diimport.

Daripada 16 penularan tempatan, tujuh kes dikesan di Kedah dan lima di Sabah, dua di Pulau Pinang, dan satu di Selangor dan Sarawak.

Kluster Benteng Lahad Datu di Sabah kini berjumlah 474 kes, dengan dua jangkitan baharu setakat ini. 

Masih terdapat 2,838 individu yang menunggu keputusan ujian Covid-19 mereka dalam kluster ini.

Di Kedah, enam kes dilaporkan dari kluster Sungai yang melibatkan pekerja kesihatan, menjadikan jumlah jangkitan dalam kluster ini kepada 65. 

Sebanyak 22,153 individu sudah diperiksa dalam kluster ini.

Jangkitan lain di Kedah dilaporkan daripada saringan Covid-19 di Kota Setar, yang kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD).

Seramai 15 pulih dilaporkan setakat tengah hari ini, sementara 674 kes masih aktif.

Daripada jumlah ini, 13 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam terakhir.

Angka kematian kekal seramai 128 orang. – 17 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen