New Zealand alami kemelesetan pertama sejak beberapa dekad


Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern meletakkan negaranya dalam sekatan pergerakan diperketatkan selama sebulan berikutan wabak Covid-19. – Gambar EPA, 17 September, 2020.

SUSULAN sekatan Covid-19 yang ketat, New Zealand mengalami kemelesetan apabila ekonomi negara menyusut 12.2% pada suku Jun, satu rekod penurunan sejak 1987, lapor media kendalian kerajaan pada Khamis.

Angka rasmi menunjukkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) turun 12.2% mengikut musim untuk tiga bulan sehingga Jun, lapor agensi Anadolu menurut Radio New Zealand (RNZ).

Negara itu mengalami kemerosotan terbesar sejak New Zealand memperkenalkan sistem pengukuran data semasa pada 1987.

“Industri seperti peruncitan, penginapan dan restoran, dan pengangkutan menyaksikan penurunan pengeluaran yang ketara kerana mereka terjejas secara langsung oleh larangan perjalanan antarabangsa dan sekatan pergerakan yang ketat di seluruh negara,” kata RNZ memetik pengurus kanan Stats NZ, Paul Pascoe.

Perbelanjaan domestik isi rumah juga susut 12%. Secara tahunan, KDNK turun 2% - ia penurunan tahunan pertama sejak suku Mac 2010.

Industri perkhidmatan turun 10.9%, dengan perbelanjaan pengguna merosot lebih daripada 25%, lapor RNZ.

Menteri Kewangan Grant Robertson berkata angka terkini itu sudah dijangka berikutan sekatan ketat pemerintah untuk membendung Covid-19.

“Penurunan ekonomi yang ketara tidak mengejutkan, tetapi langkah-langkah pemerintah seperti subsidi upah, pinjaman perniagaan, dan skim-skim lain telah mengurangkan impak dan menjadi dasar untuk pemulihan,” kata Robertson.

“Pelaksanaan secara bersungguh-sungguh dan lebih awal bermakna kita dapat kembali pulih dengan lebih cepat dan kukuh,” kata Robertson seperti yang dipetik oleh media kerajaan.

Kemerosotan ekonomi New Zealand lebih tinggi daripada Australia 7% dan Kanada 11.5%, tetapi kurang daripada United Kingdom dan India.

Pada Mac, Perdana Menteri Jacinda Ardern meletakkan negaranya dalam sekatan pergerakan diperketatkan selama sebulan berikutan wabak Covid-19.

New Zealand setakat ini mencatatkan 1,809 kes dengan 25 kematian, manakala 1,707 pesakit telah pulih, menurut kementerian kesihatan. – Bernama, 17 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen