Tiada siapa mahu jadi CEO 1MDB, kata saksi


Kamles Kumar

Bekas CEO 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 September, 2020.

TIADA siapa mahu pegang jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana risikonya tinggi, selain banyak terdedah kepada unsur politik, Mohd Hazem Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Saksi kesepuluh pendakwaan itu berkata rakan-rakan sekerjanya di 1MDB juga tidak berminat kerana tidak mahu menguruskan syarikat yang dipalit hutang dan memerlukan ‘bailout’ (bantuan).

Bekas CEO 1MDB itu berkata beliau mengesyaki syarikat tidak dapat menjelaskan bayaran pinjaman sejak September 2013, dan menyatakan hasrat untuk meletak jawatan pada 2014.

Bagaimanapun, pegawai khas kepada bekas perdana menteri Najib Razak, Azlin Alias, memintanya meletak jawatan selepas penyenaraian awam 1MDB Energy.

“Azlin selalu menasihatkan saya supaya bersabar dahulu, dan meletak jawatan selepas penyenaraian awam 1MDB Energy. Tetapi pada hujung Oktober 2014, iaitu selepas saya pulang dari mengerjakan haji, saya serius untuk meletak jawatan sebagai CEO 1MDB,” kata Hazem ketika membaca pernyataan saksinya di mahkamah hari ini.

“Saya minta Azlin beritahu Jho Low supaya carikan calon pengganti saya kerana pegawai bawahan saya tidak mahu menggantikan saya sebagai CEO, kerana akan terdedah kepada unsu-unsur politik.”

Hazem, 47, merujuk kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang menurutnya menguruskan 1MDB di belakang tabir.

Najib sedang dibicarakan atas empat tuduhan salah guna kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion dari 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang bagi jumlah yang sama.

Saksi itu seterusnya mengaku beliau tidak tahu mengenai pelaburan asing yang diuruskan Jho Low dan Penasihat Undang-Undang 1MDB Jasmine Loo.

“Sebagai CEO syarikat, saya sepatutnya mempunyai akses penuh dan kerana pembiayaan syarikat dikawal oleh pihak pengurusan.

“Tetapi saya hanya menerima arahan dari Jho Low supaya tidak kacau dana-dana ini,” katanya.

Hazem dibayar gaji RM93,000 sebulan ketika mula-mula menyertai 1MDB  pada 2013. Gaji terakhir beliau RM97,000 ketika meletak jawatan. Hazem juga menerima dua kali bonus sepanjang perkhidmatan, iaitu pada 2013 (bonus lima bulan) dan 2014 (bonus 10 bulan).

Beliau akhirnya meletak jawatan pada Januari 2015, apabila Arul Kanda Kandasamy dilantik sebagai presidne 1MDB.

“Pada 5 Januari 2015, Arul Kanda datang melapor diri sebagai presiden 1MDB, yang bermaksud saya sebagai CEO akan melapor kepada beliau.

“Ketika inilah saya putuskan ini masa yang tepat untuk meletak jawatan sebagai CEO kerana portfolio presiden sama sahaja dengan CEO,” kata Hazem.

Hazem selesai membacakan pernyataan saksinya hari ini.  Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan disambung semula pada 5 Oktober.– 17 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen