PARTI anak muda yang sedang ditubuhkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendapat sambutan dan perhatian bukan saja dalam kalangan anak muda tetapi juga golongan berumur.
Sambutan ini tergambar daripada program penerangan mengenai gerakan yang setakat ini dinamakan sebagai “Muda” di Pulau Pinang pada hujung minggu lalu, turut dihadiri mereka berumur lebih 60 tahun.
Bekas aktivis pelajar KM Lee, 64, berkata beliau hadir untuk mendengar lebih lanjut mengenai idea parti anak muda dan memberikan sokongan.
Katanya, masa depan Malaysia memerlukan kepimpinan politik baharu daripada anak muda, selepas sekian lama ditentukan elit politik yang sama.
“Negara kita sudah terlalu lama dengan pemimpin sama misalnya Dr Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.
“Selepas PRU14, saya sedar sudah tiba masanya mereka ini berundur. Biar satu parti anak muda pimpin negara ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Lee hadir bersama tiga rakannya yang juga hampir sebaya, sama-sama aktif bersamanya dalam gerakan pelajar semasa menuntut di England pada 1970-an.
Ditanya harapannya terhadap parti anak muda, Lee yakin ia menjanjikan sesuatu yang segar untuk politik Malaysia.
“Setakat perbincangan hari ini, mereka kata mahu tubuh parti yang pelbagai kaum, tolak amalan politik lama. Jika mereka pegang pada prinsip, mereka boleh berjaya.
“Inisiatif berjumpa dengan masyarakat setempat ini juga satu perkembangan yang positif. Kita boleh faham apa usaha mereka,” katanya.
Rakannya Charles Chia, 60, pula berkata beliau tidak fikir parti anak muda akan meminggirkan golongan tua.
“Parti Muda bukan untuk orang yang muda tetapi idea mereka adalah untuk semua kaum dan peringkat umur.
“Walaupun mereka masih muda, saya yakin negara kita perlukan ahli politik muda, yang benar-benar mahu bekerja… bukan mereka yang bercakap soal kuasa, kaum dan agama semata-mata,” katanya.
Sesi penerangan di Pulau Pinang antara siri jelajah Muda yang digerakkan ke beberapa negeri di seluruh Malaysia pada hujung minggu lalu.
Selain Pulau Pinang, jelajah sama yang dikendalikan oleh pengurus penyelidik di Institute for Leadership and Development Studies, Tarmizi Anuwar dan bekas aktivis mahasiswa Adam Adli, turut mengadakan siri pertemuan kelompok kecil-kecilan di Pahang, Terengganu, dan Kelantan, serta Sabah.
Seorang peserta program Dines Kumar, 27, berkata sesi penerangan yang dihadirinya memberikan harapan baharu tentang masa depan Malaysia.
Katanya, ramai anak muda bosan dengan percaturan ahli politik senior yang rata-ratanya sibuk mahu mengekalkan kuasa, dan tidak begitu menunjukkan mereka memikirkan rakyat.
“Saya nampak orang muda putus harapan dengan politik Malaysia apabila Langkah Sheraton berlaku,” katanya, merujuk episod gerakan politik yang menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) pada hujung Februari lalu.
“Anak muda undi PH tetapi ada antara mereka yang lompat parti. Ini satu bukti ahli politik kita masih amalkan politik lama, iaitu lompat parti sedangkan PH menjanjikan pelbagai perubahan,” katanya.
Dines, yang juga aktif dengan badan masyarakat Aliran di Pulau Pinang, berpendapat sayap pemuda parti politik yang sedia ada kurang berfungsi kerana hanya menjadi “sebahagian daripada parti”.
“Sudah tiba masa anak muda yang menjadi pemimpin. Sayap pemuda yang ada seolah-olah tidak berfungsi kerana mereka hanya bersuara tetapi yang tentukan dasar adalah ketua parti.
“Jika parti-parti ini tidak dengar suara anak muda lagi baik anak muda buat parti baru,” tambahnya.
Beliau berharap penggerak Muda akan mengadakan lebih banyak sesi penerangan seperti yang dihadirinya di George Town supaya lebih ramai orang faham tentang apa yang hendak mereka lakukan.
“Ini satu pendekatan yang baik… berjumpa dan kumpul pandangan daripada orang muda. Walaupun gerakan ini belum didaftarkan, boleh lihat mereka bersungguh-sungguh dengan idea parti Muda.
“Mereka faham dengan suasana politik Malaysia sebenar dan tahu apa kehendak orang belia,” katanya.
Sementara itu, Anuar Mohamad Hashim, 25, dari Kuala Nerang, Kedah, berharap parti anak muda akan mengubah politik Malaysia menjadi medan yang membahaskan dasar kerajaan, dan bukan terperangkap dengan retorik kaum dan agama.
“Parti anak muda ini perlu menjadi suara semua pihak. Saya yakin parti ini mampu bina naratif baru dengan tujuan berpolitik yang asli, bukan ditubuhkan atas nama agama dan kaum saja,” katanya.
Sementara itu, Tarmizi memberitahu The Malaysian Insight, parti anak muda ini akan menjadi sebuah parti pelbagai kaum serta segenap lapisan masyarakat, dan bukan hanya terhad untuk anak muda.
“Ini masanya penubuhan parti yang inklusif, pelbagai kaum yang boleh bantu semua kaum.
“Kita akan cuba tangani isu pengangguran, alam sekitar, dan kemiskinan. Kita akan menjadi parti yang terbuka dan fokus kepada semua pihak – bukan orang muda saja.
“Parti ini mahu beri perhatian dan kesakmaan kebajikan kepada semua orang,” katanya.
Dalam beberapa wawancara, Syed Saddiq berkata parti anak muda ini bertujuan untuk memecahkan amalan politik lama dengan menggembleng kepelbagaian dan kesegaran pemikiran anak muda.
Bekas ketua Pemuda Bersatu itu tidak menyertai ahli Parlimen bekas Bersatu yang lain yang bersama Dr Mahathir Mohamad membentuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Ahli Parlimen Muar itu antara enam ahli Parlimen Bersatu termasuk Dr Mahathir yang dipecat oleh parti selepas menyokong pembangkang dan tidak mendukung kerajaan Muhyiddin Yassin. – 17 September, 2020.
Komen