PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembentukan majlis khas untuk selesaikan tuntutan dan pergolakan hak rakyat Sabah dan Sarawak yang masih tertangguh.
Dalam ucapan Hari Malaysia beliau di Sibu Sarawak, Muhyiddin berkata Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dipengerusikan beliau sendiri dan turut dianggotai oleh ketua menteri Sabah serta Sarawak.
Menteri-menteri Persekutuan dan ahli-ahli lain akan dilantik mengikut kesesuaian, kelayakan dan bidang kepakaran masing-masing.
“Majlis Khas ini akan membincangkan isu-isu yang berkait dengan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63, antaranya kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu, hak negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” katanya.
Jelas Muhyiddin, majlis khas itu juga akan menekankan isu keselamatan negeri dan pendidikan Sabah dan Sarawak.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar penubuhan Majlis Khas ini dapat merungkaikan beberapa isu yang masih tertangguh berhubung hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak.
Beliau menekankan tiada isu yang “susah untuk diselesaikan.”
“Jika kerajaan persekutuan dan negeri sehaluan, rakyat yang peroleh keuntungan,” katanya.
Perdana menteri mengambil contoh pertikaian antara Sarawak dan Petronas berhubung sumber gas dan minyak di negeri itu yang telah diselesaikan.
Muhyiddin berterima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg kerana berjaya menemui kata sepakat dalam pergolakan itu termasuklah mengenai cukai jualan produk-produk berkait petroleum.
Tambahnya lagi, rundingan isu sama dengan Sabah akan bermula sejurus tamatnya pilihan raya negeri itu.
Majlis khas ini adalah bagi menggantikan jawatankuasa sedia ada yang ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.
Minggu lalu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah memberi petanda tentang Majlis Khas ini dengan berkata, ini adalah rancangan kerajaan Perikatan Nasional untuk memajukan dan mengangkat hak Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menegaskan soal kedaulatan wilayah juga akan terus dipertahankan tanpa sebarang kompromi.
“Saya ingin tegaskan bahawa Sabah dan Sarawak akan terus kekal berada dalam Malaysia. Kerajaan Persekutuan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedaulatan negara kita.
“Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara dan agensi-agensi penguatkuasaan memikul tanggungjawab bersama untuk terus mempertingkatkan kawalan sempadan negara bagi mengekang sebarang cubaan untuk menceroboh dan mengancam kedaulatan negara termasuk melaksanakan Op Benteng dan meningkatkan penguatkuasaan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom),” katanya. – 16 September, 2020.
Komen