BEKAS naib presiden Amanah Husam Musa menafikan beliau meletak jawatan atas alasan tidak sebulu dengan presiden parti tersebut Mohamad Sabu.
Mengulas laporan The Malaysian Insight mengenai perkara itu, Husam berkata keputusan untuk melepaskan jawatan itu dibuat secara sukarela dan diterima baik pemimpin lain termasuk presiden.
“Ada laporan kata saya ada masalah dengan Mohamad Sabu itu tak betul. Saya jarang konfrontasi.
“Dalam hal begini saya tak ambil pendekatan bertentangan sampai menimbulkan ketegangan dalam parti.
“Saya jumpa pemimpin Amanah dan Mohamad Sabu sendiri serahkan surat dan letak jawatan secara sukarela tanpa muslihat,” katanya.
Husam juga berkata, Mohamad yang disifatkan sebagai pemimpin “gigih” dan menerima peletakan jawatan itu yang seterusnya dibincangkan dalam mesyuarat parti pada 6 September.
“Mereka setuju dan tidak ada masalah dengan hasrat saya,” katanya lagi dalam acara bual bicara anjuran Sinar Harian yang disiarkan secara langsung di media sosial petang ini.
Peletakan jawatan itu dilaporkan The Malaysian Insight pada Isnin lepas namun dinafikan Husam.
Pada hari sama, Amanah mengesahkan peletakan jawatan tersebut.
Husam meletak jawatan naib presiden tetapi mengekalkan jawatan ketua Amanah Kota Bharu yang dimenanginya dalam pemilihan parti.
Susulan peletakan jawatan itu, Mohamad mengumumkan Husam akan dilantik menjadi penasihat tiga biro – pilihan raya, komunikasi dan strategi parti selain memimpin gerak kerja pilihan raya. – 16 September, 2020.
Komen