POPULARITI Dr Mahathir Mohamad yang kini merudum akan menjejaskan peluang Pakatan Harapan untuk menang pilihan raya akan datang, kata bekas naib presiden Amanah Husam Musa.
Atas sebab itu juga, parti Pejuang yang diasaskan Dr Mahathir tidak sewajarnya bertanding di kerusi yang sebelum ini diwakili Bersatu, kata Husam.
Beliau mendakwa, rakyat hilang kepercayaan terhadap Dr Mahathir sejak ahli Parlimen Langkawi itu meletak jawatan yang membawa kepada peralihan kerajaan pada Februari lalu.
“Kalau beri kepada Pejuang, Dr Mahathir walau saya sayang dia dan hormat beliau.
“Saya kira Dr Mahathir lepas peralihan kerajaan kedudukan beliau di sebahagian besar mata rakyat terus merundum, beliau telah hilang kepercayaan rakyat.
“Bila Dr Mahathir hilang kepercayaan, kalau Pejuang ambil kerusi tinggalan Bersatu ini akan merugikan rakyat Malaysia yang nak kejayaan untuk tumbangkan kerajaan masuk ikut atap ini.”
Husam ketika bercakap dalam program bual bicara anjuran Sinar Harian yang disiar langsung petang ini juga menyarankan Amanah diberi peluang bertanding di kerusi Bersatu.
Ini kerana kerusi yang ditandingi Bersatu bawah tiket PH semasa PRU14 merupakan kerusi yang dituntut Amanah, katanya.
“Penjajaran kerusi perlu dibuat di kerusi tinggalan parti Bersatu. Kerusi ini dulu merupakan kerusi PH dan Amanah tuntut tapi dikorbankan kepada Bersatu.
“Ada 13 kerusi semua ini kerusi tradisi PH dan kalau Amanah diberi peluang PH akan dapat menang semula,” katanya.
Beliau hadir di program bual bicara itu untuk menjawab peletakan jawatannya sebagai naib presiden Amanah.
Husam bagaimanapun mengekalkan jawatannya sebagai ketua Amanah Kota Bharu yang dimenangi dalam pemilihan parti, untuk memperkukuhkan pergerakan tersebut di Kelantan.
Susulan peletakan jawatan itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu mengumumkan Husam akan dilantik menjadi penasihat tiga biro – pilihan raya, komunikasi dan strategi parti selain memimpin gerak kerja pilihan raya.
Tegasnya, keputusan itu dibuat secara sukarela dan diterima baik oleh pemimpin lain termasuk presiden. – 16 September, 2020.
Komen