Guinea dan Togo lanjut sekatan Covid-19


Presiden Guinea Alpha Conde melalui kenyataannya di televisyen, berkata sekatan akan ditambah sebulan lagi bermula Khamis. – Gambar AFP, 16 September, 2020.

NEGARA Afrika Barat iaitu Guinea dan Togo hari ini mengumumkan untuk melanjutkan lagi tempoh sekatan bagi membendung penularan Covid-19.

Presiden Guinea Alpha Conde melalui kenyataannya di televisyen, berkata tempoh lanjutan itu akan ditambah sebulan lagi bermula Khamis, sementara di Togo, perdana menteri Selom Komi Klassou berkata “darurat kesihatan” akan diteruskan selama enam bulan lagi.

Guinea telah memulakan langkah pencegahan sosial di seluruh negara bermula 26 Mac lalu.

Beberapa langkah seperti penutupan sekolah dan sempadan, telah dikurangkan tetapi sekatan untuk mengadakan perhimpunan awam masih diteruskan.

Pengkritik menuduh pihak berkuasa menggunakan undang-undang anti Covid-19 untuk mengganggu protes dan demonstrasi politik menjelang pilihan raya presiden yang akan diadakan pada 18 Oktober ini.

Guinea yang merupakan antara negara termiskin dunia mencatatkan 10,111 kes Covid-19 dengan 63 kematian.

Parlimen Togo telah meluluskan penambahan enam bulan untuk mengurangkan penularan Covid-19 pada 30 Mac lalu, dan sejak itu diperpanjangkan dan dipersetujui sebulat suara, kata Klassou.

Negara itu telah mencatat 1,595 kes Covid-19 dengan 40 kematian, bagaimanapun jumlah itu meningkat setelah negara itu membuka kembali lapangan terbangnya pada 1 Ogos.

“Dengan lanjutan ini, kami mempunyai 180 hari untuk memperkuatkan lagi perlindungan kepada rakyat, pekerjaan mereka (dan) kuasa membeli selain menjaga pendidikan sekolah anak-anak kita dan mengubah gaya hidup kita sambil meneruskan pembangunan ekonomi dan sosial,” katanya. – AFP, 16 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen