Pekebun durian saksi siasatan SPRM, kata peguam


Noel Achariam

Pekebun-pekebun bukannya dipanggil datang ke pejabat SPRM sebagai suspek, tetapi untuk membantu siasatan, kata peguam Samantha Chong Yin Xin. – Gambar The Malaysian Insight, 16 September, 2020.

DUA PULUH TIGA pekebun durian Raub, Pahang telah membuat kenyataan yang dirakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pencerobohan tanah haram.

Peguam Samantha Chong Yin Xin berkata tidak pasti lagi berapa ramai pekebun akan dipanggil oleh SPRM.

“Kami masih belum dapat tahu berapa ramai lagi pekebun durian yang akan dipanggil… Ianya bergantung pada SPRM,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas Chong, SPRM telah mengeluarkan notis kepada para pekebun untuk hadir ke pejabat mereka, dan perkara ini mestilah dipatuhi.

“Mereka yang mendapat notis mestilah hadir (untuk beri keterangan) atau akan berhadapan dengan tindakan (jika tidak hadir).

“Pekebun-pekebun bukannya dijemput sebagai suspek, tetapi untuk membantu siasatan sahaja,” katanya.

Semalam, NGO Perikatan Selamatkan Musang King (Samka) telah memberi kenyataan mereka di pejabat SPRM Raub, walaupun ketua pesuruhjaya Azam Baki menafikan perkara itu.

Azam hanya berkata yang kertas siasatan telah dibuka berhubung salah guna kuasa dalam penerokaan tanah untuk membuka kebun durian.

Samka berkata seramai 50 pekebun telah dipanggil SPRM.

Pekebun-pekebun yang belum hadir dijangka dipanggil untuk disoal antara hari ini dan esok.

Jelas Chong, beliau tidak akan mendedahkan sebarang maklumat kerana masih dalam siasatan.

“Maklumat ini rahsia dan berada di bawah undang-undang, jadi ia tidak boleh didedahkan.”

Samka, mewakili pekebun durian di Kampung Sungai Ruan, Sungai Chalit dan Sungai Klau terkepit kerana berselisih dengan kerajaan Pahang.

Kerajaan negeri itu mendakwa akan “menghalalkan” tanah yang telah dugunakan secara haram untuk membuka kebun durian.

Pahang bertindak demikian dengan memberi hak atas tanah seluas 2,168 hektar di Raub kepada Royal Pahang Durian, satu usaha sama antara Royal Pahang Durian Resources (RPDR) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP).

Antara perjanjian itu, pekebun akan diberikan levi untuk tanah dan hanya menjual durian Musang King Gred A kepada syarikat dengan harga di bawah harga pasaran.

Samka menyelar perjanjian itu sebagai tidak adil. – 16 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen