LEBIH banyak sekolah di Perancis ditutup susulan beberapa murid diuji positif Covid-19, manakala 2,100 kelas dibatalkan, kata Menteri Pendidikan Jean-Michel Blanquer hari ini.
Sebanyak 28 sekolah diarah tutup awal minggu lalu, tidak lama selepas sesi persekolahan disambung semula. Jumlah itu kemudian meningkat kepada 81 dalam tempoh seminggu.
“Ada kira-kira 1,200 kes baharu Covid-19 dikesan dalam kalangan murid berbanding minggu lalu,” kata Blanquer kepada stesen televisyen LCI.
“Sekolah ditutup sebaik sahaja tiga kes dikesan.”
Tambah beliau, penutupan hanya membabitkan sebilangan daripada 60,000 sekolah di seluruh Perancis.
Pihak berkuasa kesihatan negara itu sebelum ini memberi amaran sekatan baharu perlu dilaksanakan bagi mengekang pandemik Covid-19 susulan kes meningkat sejak Ogos.
Semalam, University of Montpellier di selatan Perancis membatalkan kelas di fakulti perubatan selepas kira-kira 60 pelajar disahkan positif.
University of Rennes di barat Perancis juga menangguhkan kelas bagi pelajar perubatan susulan 83 orang dijangkiti virus itu.
Agensi kesihatan Sante Publique France melaporkan hampir 8,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam hari ini, turun sedikit berbanding 10,000 kes pada Sabtu lalu. – AFP, 16 September, 2020.
Komen