PERDANA Menteri Najib Razak mampu menyelesaikan isu kontroversi Baitulmaqdis dengan bercakap kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kerana mereka “bersahabat”, kata Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata Najib boleh mengajak pemimpin-pemimpin negara Islam lain untuk menyertai usahanya ketika berada di Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang akan diadakan di Istanbul pada 13 Disember.
“Saya rasa kerajaan Malaysia di bawah Najib agak rapat dengan Donald Trump,” Dr Mahathir memberitahu pemberita di Petaling Jaya hari ini.
“Saya harap Najib akan hadir pada mesyuarat di Turki untuk membincangkan isu ini dan akan turut serta dalam konvoi pemimpin negara Islam untuk bertemu Trump.
“Kerana Donald Trump kawan dia, dan saya yakin Najib boleh pengaruhi Donald Trump,” kata Dr Mahathir.
Rabu lalu, Trump berkata AS mengiktiraf Baitulmaqdis - ibu kota yang dianggap suci bagi umat Islam, Kristian dan Yahudi - sebagai ibu negara Israel.
Trump turut merancang untuk mula memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
Dr Mahathir yang mempengerusikan Pakatan Harapan, tetap mengatakan bahawa ia tiada kaitan dengan agama.
“Ini bukan tentang Baitulmaqdis sebagai ibu kota suci ketiga-tiga agama utama, tetapi kerana dia mengambil tindakan yang mengabaikan hak asasi manusia.
“Dia bukan hanya menghina umat Islam. Seluruh Malaysia patut tunjukkan kemarahan pada Trump,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR.
Turut hadir ialah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail serta pemimpin PH yang lain.
“Keputusan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel sudah lama sejak zaman presiden George Bush.
“Apa yang Donal Trump lakukan, dengan menyeru Baitulmaqdis dijadikan ibu kota Israel bertentangan dengan pendapat selurh dunia,” kata Dr Mahathir.
“Sekarang kita temui presiden yang sangat bongkak… Ini pemimpin yang tak peduli tentang kesan yang akan timbul di peringkat anatarabangsa.
“Masalahnya ialah Donald Trump itu sendiri. Beliau seorang presiden yang luar biasa. Pelbagai kenyataan telah dibuat sejak ambil kuasa.
“Saya harap dunia Islam akan ambil tindakan mengutuk tindakan ini,” kata Dr Mahathir.
Sementara itu, Wan Azizah membacakan kenyataan PKR , yang berkata menentang pengiktirafan Baitulmaqdis bukanlah isu Islam tetapi ia salah satu hak asasi manusia.
“Tindakan Trump melanggar undang-undang antarabangsa dan tidak boleh diterima. Ini tidak akan membantu konflik Palestin,” katanya, dan menambah Disember lalu PBB telah meluluskan Resolusi 2334, menyatakan sebarang tuntutan Israel ke atas Baitulmaqdis Timur tidak sah.
“Pengisytiharan Trump diumumkan semasa pilihan raya pertengahan tahun AS dan ia menganggu hal ehwal di Timur Tengah,” katanya.
Mohamad Sabu menyeru “semua kaum dan pemimpin agama” untuk menyertai perhimpunan anjuran PH pada Jumaat di depan kedutaan AS.
“Di Mesir, kita lihat Kristian Qibti membantah isu Baitulmaqdis. Di Eropah, isu-isu seperti Rohingya adakalanya melebihi penyertaan Timur Tengah,” kata Mohamad Sabu.
Kira-kira seribu orang menyertai protes di hadapan kedutaan AS, yang disertai Umno, PAS, ahli Pemuda Bersatu (Armada) dan kumpulan hak asasi seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Najib mengutuk tindakan Trump itu dan berkata umat Islam di seluruh dunia tidak akan menerima keputusan itu kerana Baitulmaqdis adalah salah satu daripada tempat paling suci bagi Islam selepas Mekah dan Madinah. – 12 Disember, 2017.
Komen