Kes Covid-19 di India kini lebih 5 juta


India menjalankan ujian saringan ke atas kira-kira sejuta penduduk setiap hari. – Gambar EPA, 16 September, 2020.

JUMLAH kes positif Covid-19 di India kini melepasi angka lima juta, menurut Kementerian Kesihatan negara itu hari ini.

Sejuta kes baharu dilaporkan dalam tempoh hanya sebelas hari, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang direkodkan sehingga kini 5.02 juta. Amerika Syarikat (AS) masih memegang rekod tertinggi iaitu 6.59 juta kes.

Sebanyak 90,000 kes baharu dilaporkan di India hari ini, dengan 1,290 kematian.

India merekodkan sejuta kes dalam tempoh 167 hari, dan sejuta lagi dalam hanya 21 hari kemudian, lebih pantas berbanding AS dan Brazil. 

Awal bulan ini, jumlah kes Covid-19 di India mengatasi Brazil.

Walaupun India menjalankan ujian saringan ke atas sejuta penduduk setiap hari, pakar kesihatan negara itu bagaimanapun berkata usaha itu masih tidak mencukupi. Angka sebenar jumlah kes positif mungkin jauh lebih tinggi, kata mereka.

Majlis Penyelidikan Perubatan India minggu lepas berkata tinjauan mereka mendapati seramai 6.5 juta orang di negara itu dijangkiti Covid-19 pada Mei. – AFP, 16 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen