MUSTAHAK untuk rakyat Sabah memberi kembali kuasa kepada Shafie Apdal dan Warisan Plus bagi menghapuskan politik wang, korupsi, salah guna kuasa dan rampasan tanah oleh politikus tidak jujur, kata Lim Guan Eng.
Setiausaha agung DAP it berkata jika Warisan kembali berkuasa, ia dapat menyiasat sepenuhnya kes rampasan tanah terbaru yang berlaku di negeri itu.
“Hanya dengan memberi kejayaan kepada Warisan Plus, barulah boleh rakyat Sabah menyiasat sedalam-dalamnya pengambilan tanah hutan seluas 700,000 ekar, selain dapat menghalang kejadian sama ambil alih tanah hutan simpan di masa depan,” kata ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Lim merujuk kepada pendedahan terbaru dibuat Shafie yang bekas pemimpin negeri itu menganugerahkan lebih setengah juta ekar tanah hutan simpan menerusi Yayasan Sabah kepada kawan-kawan dan ahli keluarganya.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menggesa bekas ketua menteri Sabah Musa Aman, adiknya Anifah Aman yang juga bekas menteri luar untuk tampil menjelaskan tuduhan itu kepada rakyat Sabah bagi mengangkat prinsip ketelusan dan kebertanggungjawab pentadbiran.
“Tambahan lagi, kerajaan Persekutuan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga perlu menjelaskan, memandangkan pemimpin pentadbiran terdahulu Sabah adalah sebahagian daripada pentadbirannya dan gabungan politik Perikatan Nasional,” katanya.
Tambahnya lagi, rakyat Sabah juga tidak akan boleh melupakan yang setiausaha politik Muhyiddin dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berjumpa Yang Di Pertua Sabah bagi pihak Musa untuk membentuk kerajaan pintu belakang.
“Cubaan dibuat PN dan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman untuk membentuk kerajaan pintu belakang di Sabah gagal, kerana Shafie pantas bertindak menghentikan cubaan mencuri mandat rakyat dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri,” tambahnya.
Lim juga berkata Shafie terpaksa membubarkan DUN kerana tidak mahu tunduk kepada politik wang sehingga pilihan raya semula perlu diadakan walaupun negara sedang berperang wabak Covid-19 bagi membolehkan rakyat Sabah menentukan kerajaan mereka sendiri.
Lim dalam kenyataan sama turut mengecam PN kerana meletakkan kesihatan awam dalam risiko dengan cubaan bentuk kerajaan pintu belakang.
“Kesediaan mereka untuk meletakkan kesihatan awam dalam risiko, PN dengan tidak bertanggungjawab dan bermain politik membinasakan untuk cuba berkuasa di Sabah bagi mengukuhkan majoriti tipis 2 kerusi mereka di Parlimen,” katanya.
Sabah mengadakan Pilihan Raya Negeri ke-16 hanya selepas 26 bulan Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.
DUN dibubarkan selepas rancangan PN dan Barisan Nasional untuk merampas kuasa daripada Warisan gagal.
Pengundian dijadualkan berlaku pada 26 September ini.
Penamaan calon dijalankan pada 12 September lalu dengan pengundian awal ditetapkan pada 22 September. – 16 September, 2020.
Komen