Menteri negatif Covid-19, Kabinet Ireland tamatkan kuarantin


Ireland sedang bersiap sedia berdepan gelombang kedua Covid-19 apabila berlaku lonjakan kes terutama di Dublin. – Gambar AFP, 16 September, 2020.

SEMUA ahli Kabinet Ireland menamatkan sesi kuarantin kendiri sementara pada petang semalam, beberapa jam selepas kegemparan penularan Covid-19 apabila menteri kesihatan menunjukkan gejala positif jangkitan.

Dewan rendah Parlimen Ireland digantung dan jemaah menteri diminta menghadkan pergerakan mereka pada petang semalam selepas Menteri Kesihatan Stephen Donnelly mula menunjukkan gejala jangkitan Covid-19 dan melakukan ujian saringan.

Tetapi empat jam selepas itu, hasil ujian Donnelly menunjukkan beliau negatif, kata jurucakap Jabatan Kesihatan kepada AFP.

“Semua menteri dan semua TD (wakil rakyat) akan bekerja seperti biasa esok,” kata Timbalan Perdana Menteri Leo Varadkar kepada RTE.

Sebelum itu, Perdana Menteri Micheal Martin memberitahu media tempatan yang langkah berjaga-jaga sudah diambil selepas Donnelly memberi taklimat kepada jemaah menteri kerajaan baharu berkaitan dengan pencegahan penularan wabak pada Isnin.

Pada Selasa, Donnelly juga hadir sidang media bersama Martin dan Varadkar mengumumkan sekatan terbaru dikuatkuasa di Dublin.

Dewan rendah Parlimen dipaksa menggantung sesi persidangan selepas berita jemaah menteri menjalani kuarantin kendiri diterima.

Pengerusi Sean O Fearghail memberitahu wakil rakyat yang “kemungkinan meneruskan sidang tidak ada” dengan Kabinet dalam kuarantin.

Bagaimanapun Martin berjaya menyambung semula sidang Parlimen tidak lama selepas itu dengan menghantar menteri muda negara mewakili kerajaan di Dewan.

1,787 orang terbunuh kerana Covid-19 di Ireland, menurut data rasmi terbaru.

Kes kematian memuncak pada pertengahan April lepas, tetapi Ireland sedang melawan gelombang jangkitan baharu menyebabkan beberapa sekatan mula diperkenalkan semula.

Penduduk Dublin semalam diminta menghadkan perhimpunan awam tidak lebih daripada enam orang daripada dua isi rumah dan mengelak melakukan perjalanan rentas sempadan.

Walaupun pub di seluruh negara akan mula dibuka semula selepas ditutup enam bulan pada Isnin, pub di kawasan Dublin masih diarah tutup. – AFP, 16 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen