JENAYAH ganas dan harta jatuh mendadak di seluruh AS dalam enam bulan pertama 2020 ketika wabak Covid-19 melanda negara itu, kata Biro Siasatan Persekutuan semalam.
Walaupun langkah pengurungan untuk menghalang penularan Covid-19 tidak konsisten dan ada di beberapa tempat tidak dilaksana, kadar pembunuhan jatuh 14.8% berbanding tahun lepas dan rogol jatuh 17.8%, menurut data awal dikumpul FBI.
Rompakan ganas pula jatuh 7.1% dan rompakan tidak ganas dan kecurian jatuh lebih separuh berbanding enam bulan pertama 2019, kata FBI lagi.
Tetapi jenayah kebakaran disengajakan naik lebih 52% di bandar dengan penduduk lebih sejuta orang dan naik 28% di bahagian barat negara itu.
FBI tidak memberikan butiran punca kejatuhan jenayah atau peningkatan kes kebakaran disengajakan itu.
Tetapi, data dikumpul itu adalah dalam tempoh negara itu menguatkuasa langkah mengekang Covid-19, termasuklah darurat nasional pada 13 Mac, arahan duduk di rumah di California pada 19 Mac dan arahan sama dikeluarkan New York pada 20 Mac.
Jenayah ganas semua kategori juga jatuh 4.8% untuk tempoh sama di timur laut negara itu dan berlaku penurunan kecil di bahagian barat.
Tetapi, kadar jenayah ganas naik berbanding 2019 di selatan sebanyak 2.5%. Umumnya, kebanyakan kawasan selatan masih belum mengambil langkah serius menangani penularan virus.
Dalam kempen pemilihan semula, Presiden Donald Trump berulang kali mendakwa kadar jenayah naik di bandar dipimpin Demokrat termasuklah kota utama seperti New York dan Chicago. – AFP, 16 September, 2020.
Komen