GENERASI muda Malaysia harus sedar Perlembagaan tetap menjamin hak dan kebebasan walaupun kerajaan mengenakan sekatan bagi membendung pandemik Covid-19, kata kartunis Zunar.
Mesej itu mahu disampaikan dalam pameran kartun dan forum yang berlangsung secara maya dari 6 hingga 23 September ini kata Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque.
Katanya, pameran bertajuk Impak Covid Terhadap Kebebasan Bersuara yang memfokuskan kepada golongan muda itu antara lainnya akan menerapkan soal kebebasan berekspresi.
“Topik kebebasan berekspresi sangat janggal bagi orang muda terutama Melayu. Kalau kebebasan berekspresinya selalu akan samakan dengan lawan kerajaan selalunya macam itu.
“Hak bereksperasi ini adalah kebebasan kita bersuara mendidik org muda supaya tentang pentingnya kebebasan bersuara.
“Kerana itu dibuat dalam bentuk yang mudah, mesra kepada orang muda dan dibuat dalam bentuk kartun medium yang mereka sangat selesa,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kartunis yang terkenal dengan karya satira politiknya berkata pameran seni itu tidak menyentuh parti atau pemimpin politik.
Sebaliknya ia merupakan perspektif atau pandangan pengkarya mengenai hak dan kebebasan terutama semasa negara berdepan dengan krisis Covid-19, katanya.
“Hak ini (terjejas) teruk ketika (pandemik) Covid-10 sebab pemerintah akan selalu gunakan ini sebagai alasan (untuk menekan kebebasan) dan rakyat akan terima.
“Tapi ini yang kita nak beritahu walau Covid-19 atau apa saja keadaan melanda negara, hak kamu akan kekal
“Sebab itu kita ada juga forum untuk bincang hal ini. Hak bersuara itu hak tertinggi sekali bagi seorang warganegara dan juga bukan warganegara,” katanya.

Pameran kartun pertama secara maya di Malaysia
Mengulas lanjut Zunar berkata pameran itu dibuat secara maya, yang julung kali diadakan di Malaysia, kerana negara masih berdepan krisis Covid-19.
“Pada asalnya memang pameran itu kita akan buat secara fizikal tapi disebabkan Covid-19, kita bimbang orang tak nak datang. Jadi kita buatlah konsep virtual ini,” katanya.
Katanya, pameran secara maya yang akan dilancarkan hari ini diolah untuk memberi pengalaman yang sama seperti menghadiri pameran fizikal.
“Siapa yang ingin menghadiri pameran mereka hanya perlu layari laman sesawang Craftora.com dan dari situ mereka akan dibawa memasuki galeri.”
Peserta akan dapat melihat 116 karya seni dari 29 kartunis dan artis termasuk forum dan karikatur yang dilukis kartunis secara langsung dan secara percuma, kata Zunar.
Pada masa sama Zunar berkata kartunis perlu keluar dari cara lama dan segera menyesuaikan diri dengan norma baru sewaktu pandemik yang banyak menjejaskan pendapatan golongan itu.
“Secara umum kartunis kena berubah ikut waktu kalau masih gaya lama akan mati. Jadi kena mula berubah.
“Macam sekarang dalam keadaan norma baru ini apa dan macam mana kamu nak sesuai dengan keadaan hidup, melalui online, animasi atau video.
“Sekarang ini banyak kartunis yang buat karikatur di tepi jalan Bukit Bintang tak boleh cari makan, sebab pelancong tak ada. Jadi ini masa untuk berubah,” katanya.
Walaupun pameran dalam talian itu bukan perkara mudah, Zunar berkata ia menjadi dorongan untuk mencabar dirinya untuk memulakan sesuatu yang tidak pernah dilakukan orang lain.
“Kita hendak mulakan trend itu. Mungkin tahun depan galeri lain kena buat macam ini (dalam talian) kalau tidak orang tak mahu datang sebab Covid.
“Dan kita punya perancangan jangka masa panjang untuk galeri terus dibuka. Maksudnya akan ada pameran atau program lain dalam galeri virtual ini,” katanya. – 16 September, 2020.
Komen