SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil 18 pekebun untuk memberi keterangan berhubung isu pencerobohan tanah kerajaan negeri yang dijadikan ladang durian haram di Raub, Pahang.
SPRM dalam kenyataan berkata hanya 18 orang itu sahaja dipanggil bagi membantu siasatan dan bukan 50 atau 30 pekebun yang dipanggil seperti didakwa pihak tertentu.
”Untuk makluman, terdapat 12 lagi individu lain yang turut hadir namun semuanya tidak berkaitan dengan siasatan kes berkenaan.
“SPRM menjalankan siasatan berdasarkan undang-undang yang diperuntukkan yang tindakan SPRM adalah bebas tanpa desakan daripada mana-mana pihak bagi mendapatkan keterangan mengenai isu penerokaan tanah ini yang telah berlarutan sehingga kini,” menurut kenyataan itu.
Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan SPRM akan terus memanggil pihak berkaitan untuk membantu siasatan berhubung isu itu dari semasa ke semasa.
Selain itu, SPRM juga berharap semua pihak yang terlibat dalam isu berkenaan tidak menspekulasikan isu tersebut dan memberi ruang kepada suruhanjaya ini untuk menjalankan siasatan.
Hari ini, Bernama melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menafikan memanggil 50 pekebun berhubung isu pencerobohan tanah berkenaan.
Sebelum ini, Azam dilaporkan mengarahkan SPRM Pahang untuk mendapatkan maklumat lanjut dari Pejabat Daerah dan Tanah Raub serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang berhubung pencerobohan tanah kerajaan negeri itu.
Pada 1 Ogos, kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri. – Bernama, 15 September, 2020.
Komen