Kluster baharu Covid-19 di Sabah libatkan 9 ahli keluarga


Ragananthini Vethasalam

KLUSTER baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini melibatkan sembilan ahli keluarga yang dikenal pasti di Kunak, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes indeks kluster ini yang dikenali sebagai “Pulau” adalah seorang wanita berusia 68 tahun yang dibawa ke Hospital Kunak selepas dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumah.

Dia dirujuk ke Hospital Tawau untuk rawatan jantung dan strok di mana dia kemudian diuji positif Covid-19 pada 13 September.

“Dia kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan diberi alat bantuan pernafasan.

“Lapan lagi kes dikenal pasti melalui pengesanan kes aktif. Kesemua lapan kes itu adalah ahli keluarga kes indeks,” katanya. 

Pihak berkuasa kesihatan telah memeriksa 128 individu terdiri daripada 109 rakyat Malaysia dan sembilan warga asing dari kluster Pulau.

Setakat ini 18 individu diuji negatif sementara 101 lagi masih menunggu keputusan.

Noor Hisham juga berkata nilai kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau r-naught untuk Sabah turun dari 3.72 pada 8 September kepada 1.7 pada 13 September.

Sementara itu jumlah r-naught di Kedah turun dari 2.63 pada 8 September kepada 1.58 pada 13 September.

R-naught menunjukkan jumlah jangkitan baharu yang dianggarkan berpunca dari sat ukes.

“Walaupun begitu angka r-naught untuk kedua-dua negeri tetapi di atas 1.0 yang telah mempengaruhi nilai r-naught di seluruh negara,” katanya.

Selain memperketatkan kawalan sempadan untuk mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin, kementerian juga bersiap sedia untuk melakukan saringan besar-besaran di kawasan bersasar di daerah berisiko tinggi di Kunak, Tawau dan Lahad Datu.

“Jika ada sejumlah besar kes positif di daerah berkenaan maka kita akan mempertimbangkan untuk menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan,” katanya. – 15 September, 2020.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen