PERIKATAN Selamatkan Musang King (Samka) hari ini menyangkal dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki yang pihaknya tidak memanggil pekebun durian di Raub, Pahang yang didakwa membuka kebun durian secara haram.
Samka dalam satu kenyataan berkata, kira-kira 30 pekebun durian tanpa lesen dipanggil ke pejabat agensi anti-rasuah itu di Raub untuk memberi keterangan pagi ini.
“Azam Baki berkata SPRM tidak pernah memanggil mana-mana pekebun durian tanpa lesen dari Raub untuk beri keterangan. Samka terkejut dan menyangkal kenyataan itu yang bertentangan dengan fakta.
“Bermula pukul 10 pagi hari ini, kira-kira 30 pekebun durian tanpa lesen ditemani empat peguam tiba di pejabat SPRM Raub dan bergilir memberi keterangan.
“Sehingga pukul 12 tengah hari, lima pekebun selesai beri keterangan. Kedua-dua pekebun dan pegawai SPRM membeeri kerjasama yang baik sepanjang proses itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu hari ini, Azam Baki menafikan kenyataan kumpulan pekebun bahawa 50 daripada mereka akan dipanggil SPRM hari ini.
“(Pekebun dipanggil) itu tidak betul, tidak tahulah siapa yang buat cerita. Setakat semalam, saya dilaporkan tidak ada panggilan kepada pekebun,” kata Azam.
Beliau turut mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung penerokaan haram tanah kerajaan untuk dijadikan ladang durian di Raub.
Menjawab kenyataan itu, Samka berkata sekiranya wujud masalah komunikasi dalaman, SPRM perlu hentikan memanggil pekebun serta merta.
“Samka berharap SPRM mengamalkan koordinasi dan komunikasi lebih berkesan dalam kalangan mereka. Pengurusan kanan dan eksekutif perlu berkomunikasi sebelum sebarang tindakan diambil.
“Sekiranya apa yang dinyatakan ketua pesuruhjaya SPRM benar, yang mana SPRM tidak pernah memanggil mana-mana pekebun durian, maka pihak berkuasa perlu hentikan semua proses merakam kenyataan bagi mengelakkan sebarang masalah dan kesulitan,” katanya.
Semalam, Samka berkata kira-kira 50 pekebun durian dihubungi pegawai SPRM untuk mengambil keterangan mereka bermula hari ini. – 15 September, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen