Apa keperluan Ekspo Negaraku, Rafizi tanya menteri


Gan Pei Ling

Ahli Parlimen Padan Rafizi Ramli berkata ekspo itu membazir pada ketika rakyat terpaksa mengikat perut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2017.

NAIB Presiden PKR Rafizi Ramli berkata pameran kerajaan bertujuan untuk mempromosikan pencapaian Putrajaya bernilai RM34 juta menjelang pilihan raya umum adalah membazir pada ketika rakyat terpaksa mengikat perut.

Ahli Parlimen Padan itu berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Rahman Dahlan mesti menjelaskan keperluan dan kos Ekspo Negaraku yang sedang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur kepada rakyat.

“Kita nak tahu berapa kos (Ekspo Negaraku). Rakyat tak akan hargai anda belanja antara RM30 juta ke RM40 juta untuk penganjuran ini,” kata Rafizi yang semalam dikecam Rahman kerana tersalah dakwa kontrak ekspo itu diberi kepada abang menteri itu.

Tambah Rafizi lagi, maklumat mengenai ekspo itu tidak tersenarai dalam web perolehan kerajaan.

“Semua tender kerajaan, malah rundingan terus harus diumumkan di laman web,” kata Rafizi.

Beliau berkata sumber memberitahu Ekspo Negaraku dianggarkan menelas kos sebanyak RM 34 juta.

Pameran selama sebulan yang bermula dari 15 November hingga Jumaat ini mempromosikan projek-projek infrastruktur berskala besar yang dimulakan kerajaan.

Semalam, Rafizi mendakwa Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di bawah Rahman Dahlan, mengurniakan kontrak berjuta ringgit tanpa membuka tender untuk syarikat pengurusan acara Pico Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd untuk menganjurkan expo, yang mana ketua pegawai eksekutifnya Raslan Dahlan didakwa adalah abang kepada Rahman. 

Hari ini, Rafizi memberitahu telah memadam video dan kenyataan akhbar beliau semalam dari media sosial dan blog selepas mengesahkan tersilap megenai Raslan.

“Saya bersedia untuk minta maaf kepada Raslan, tetapi bukan Rahman Dahlan,” katanya.

Kata Rafizi, sebagai menteri Persekutuan, Rahman perlu menjawab soalan dan tuduhan yang melibatkan kepentingan awam. – 12 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen