PERDANA Menteri Justin Trudeau semalam memberi amaran yang Kanada “belum terlepas sepenuhnya” daripada Covid-19, menggesa rakyat negara itu terus berhati-hati ketika berlaku lonjakan kes jangkitan di seluruh negara.
Kanada melaporkan lebih 1,300 kes pada hujung minggu lepas- kes jangkitan yang tidak pernah berlaku sejak bermulanya musim panas.
Pada Isnin, Quebec dan Ontario, wilayah paling padat penduduk di Kanada dan yang paling teruk terjejas dengan wabak melaporkan hampir 600 kes positif.
“Dengan apa yang kita lihat, dengan peningkatan kes di seluruh negara, kita belum terlepas sepenuhnya,” kata Trudeau pada sidang media di Ottawa.
Katanya, pembukaan semula sekolah dan ekonomi Kanada bermaksud lebih ramai orang kembali bekerja dan menyebabkan peningkatan kes.
“Perkara terakhir yang semua orang tidak mahu adalah kita terpaksa melaksanakan perintah berkurung kembali seperti mana berlaku pada musim luruh lalu. Dan satu-satunya cara untuk mengelaknya adalah untuk terus berhati-hati,” kata Trudeau sambil menegaskan kepentingan pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.
Ketua Ontario Doug Ford juga memberi amaran serupa, berkata: “Biar saya terangkan yang semua pilihan tindakan masih ada, kita akan buat apa yang perlu termasuklah perintah berkurung lanjutan.”
Pada Sabtu, Queber menjadi wilayah Kanada pertama mendenda orang yang enggan memakai pelitup muka di ruang awam tertutup. Denda antara CAN$400-6,000 (AS$303-4,550) dikenakan untuk setiap pesalah.
Ia bagaimanapun tidak menghalang sekumpulan orang daripada hadir bantahan memakai pelitup muka di Montreal pada Sabtu.
Setakat semalam, Kanada melaporkan lebih 137,000 kes Covid-19 sejak pertengahan Mac lalu. Lebih 9,200 orang sudah terbunuh kerana wabak itu. – AFP, 15 September, 2020.
Komen