Najib guna dana 1MDB bayar perunding media, kata bekas CEO 


Kamles Kumar

Bekas perdana menteri Najib Razak didakwa menggunakan lebih RM650,000 dana 1MDB untuk membayar perunding media.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 September, 2020.

NAJIB Razak menggunakan lebih RM655,000 daripada dana 1Malaysia Development Berhad untuk membayar perunding media bagi menjawab soalan berhubung pemerolehan loji janakuasa bebas (IPP) yang terlalu mahal, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman memberi keterangan bahawa bekas perdana menteri melantik perunding bernama Romen Bose untuk menjawab soalan pembangkang dan media antarabangsa mengenai IPP.

Beliau mendakwa bekas pegawai khas Najib, Wan Ahmad Shihab menjelaskan peranan Romen dalam emel pada 2013, yang dimajukan kepadanya melalui ahli perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho.

“Dalam emel ini, Wan Ahmad Shihab menjelaskan profil Romen Bose yang mana Najib menghubunginya untuk menjawab isu 1MDB bagi pihak kerajaan yang dibangkitkan pembangkang ketika itu.

“Terdapat soalan yang dilampirkan daripada Romen Bose untuk membantunya menyediakan maklum balas Najib kepada media antarabangsa,” kata Hazem ketika membaca keterangan saksi.

Hazem merupakan saksi pendakwaan ke-10 kes perbicaraan rasuah Najib yang didakwa atas empat tuduhan salah guna kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dalam jumlah yang sama.

Hazem dilantik sebagai ketua pegawai operasi pada 2012 sebelum menjadi CEO pada Mac 2013 menggantikan Shahrol Azral Ibrahim Halmi sehingga 2015.

Beliau menjelaskan pengurusan 1MDB perlu melalui meneliti senarai soalan terlebih dahulu sebelum ia dihantar semua kepada Jho Low yang akan memeriksanya sebelum dihantar kepada Romen.

“Dalam emel Jho Low, beliau meminta pengurusan 1MDB untuk menjawab dengan pantas soalan sebelum beliau periksa dan dihantar kembali kepada Romen,” kata Hazem.

Antara soalan yang dihantar Romen adalah:

“Mengapa harga untuk syarikat Ananda dan syarikat Genting Power dinilai lebih tinggi daripada di rantau ini?”

Jawapan yang dicadangkan Jho Low: “Kerajaan sedang dalam proses penyusunan semula sektor IPP yang kontroversi sebelum kontrak konsesi berakhir pada 2016 dan 2017, inilah sebabnya mengapa kita harus membayar premium.”

“Nik Nazmi mendakwa membina loji baharu lebih murah daripada membeli dari Genting. Betulkah? Sekiranya ini tidak benar, maka adakah kerajaan dilihat sedang berusaha menyelamatkan kroni?”

Jawapan yang dicadangkan Jho Low: “Tidak benar kerana keuntungannya melebihi jumlah yang dibayar kepada Genting dan Ananda.”

“Mengapa bayaran Goldman Sachs begitu tinggi (AS$200 juta)? Adakah kerana perjanjian itu dilakukan secara tertutup?

Jawapan yang dicadangkan Jho Low: “Bayaran itu tinggi kerana ia adalah transaksi yang sukar/kompleks.

“Adakah benar perjanjian dibuat secara tertutup? Mengapa ia tidak dibuat di pasaran terbuka yang mana bayarannya lebih kompetitif?

Jho Low tidak mempunyai jawapan untuk soalan itu.

Hazem mendakwa jawapan yang diberikan Jho Low bertujuan untuk memperdayakan dan mengelirukan masyarakat daripada kebenaran pembelian IPP.

“Pada pandangan saya sebagai CEO ketika itu, jawapan yang diberikan oleh Jho Low adalah alasan dan kenyataan yang dibuat bagi mengelakkan isu pemerolehan Genting Sanyen dan Tanjong Energy,” katanya.

Bekas CEO berusia 47 tahun itu juga mendakwa beliau tidak menyuarakan apa-apa kerana bimbang kehilangan kerja dan perlu memperbaiki jawapan Jho Low. – 14 September, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen