Jangan keluar rumah melainkan perlu, kata Noor Hisham kepada penduduk kawasan PKPD 


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ujian saringan sedang dijalankan di kawasan Kota Setar.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2020.

KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan penduduk di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran agar tidak meninggalkan kediaman masing-masing melainkan benar-benar perlu.

Beliau berkata kementerian mengenal pasti kawasan berisiko tinggi baharu di sekitar daerah Kota Setar dan proses saringan ke atas penduduk sedang dijalankan.

“Setakat ini proses ujian saringan berjalan lancar kerana kerjasama yang baik daripada penduduk,” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini. 

Daerah Kota Setar, Kedah dikenakan PKPD secara pentadbiran berikutan peningkatan kes yang dikaitkan dengan kluster Sungai dan Telaga. 

Kedua-dua kluster ini dikesan di pusat kesihatan di Alor Setar.

Kluster Sungai dikesan di Hospital Sultanah Bahiyah manakala kluster Telaga berasa dari Kedah Medical Centre, yang merupakan pusat kesihatan swasta di bandar itu.

Sekatan pergerakan turut dikenakan di Penjara Tawau dan kuarters kakitangan selepas kluster Benteng Lahad Datu merekodkan peningkatan kes.

Sementara itu PKPD di zon Melor di Amanjaya, Kedah yang sepatutnya berakhir tengah malam semalam dilanjutkan sehingga 27 September. 

Lanjutan itu susulan 12 kes baharu Covid-19 dikesan pada ujian saringan kedua. 

Lebih 16,000 individu disaring bagi kluster Sungai setakat tengah hari ini. 

Dengan satu kes baharu direkodkan hari ini, jumlah kumulatif kes kluster ini kini adalah 58.

Dr Noor Hisham berkata, 5,402 individu disaring bagi kluster Benteng Lahad Datu, yang menyumbang kepada peningkatan kes harian Covid-19 hari ini. 

Klusteri itu kini merekodkan 420 kes, 17 daripadanya direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu. 

Dr Noor Hisham sebelum ini berkata, kluster itu berjaya dikawal dalam kawasan balai polis daerah Lahad Datu dan penjara Tawau.

Kes indeks kluster itu adlah dua warga asing tanpa dokumen perjalanan yang ditahan di balai polis Lahad Datu yang kemudian disahkan positif Covid-19.  
 
Menurutnya, 59 individu disaring bagi satu lagi kluster iaitu kluster Bunga.

Kluster berkenaan melibatkan kru kapal yang berlabuh di Port Dickson, setakat ini melaporkan 10 kes positif. – 14 September, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen