PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan kerja sulung ke Perak dengan mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-23 di Pulau Pangkor esok.
Mesyuarat dijangka akan dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed; Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu; Menteri Besar Perlis Azlan Man; Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Turut hadir Pengerusi Bersama (Industri) Kumpulan Industri Malaysia-Kerajaan untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) Dr Ahmad Tajuddin Ali serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.
Dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi NCIA akan membuat panggilan video dengan dua usahawan yang berjaya dari Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) masing-masing dari Kedah dan Perlis.
Sebelum mempengerusikan mesyuarat itu buat pertama kalinya, pada pukul 10.30 pagi Perdana Menteri dijadual meluangkan masa kira-kira setengah jam bagi meninjau jeti penumpang Pulau Pangkor yang memerlukan penambahbaikan selaras dengan statusnya sebagai Pulai Bebas Cukai sejak Januari lepas.
Selain itu, Muhyiddin juga akan melawat tiga usahawan NCER di Pulau Pangkor iaitu Ismail Arshad yang mengusahakan minyak dan air gamat serta pengusaha kraftangan ikan buntal Mohd Arshad Yusop atau dikenali sebagai Alang & Angry Fish di Kampung Telok Gedong.
Turut dijangka menerima kunjungan pemimpin nombor satu itu adalah pengusaha hasil perikanan Rasid Ibrahim yang memiliki perniagaan Sate Ikan Paksu Enterprise.
Perdana Menteri juga dijadual melawat tarikan baharu di Pangkor iaitu Masjid Al-Khairiah atau dikenali sebagai Masjid Seribu Doa di Kampung Sungai Pinang yang berkonsepkan seni bina Cina dan Nusantara. – Bernama, 14 September, 2020.
Komen